Umat Islam sambut Maulidur Rasul kali kedua tahun ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Umat Islam seluruh dunia meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul dua kali tahun ini, iaitu pada 3 Januari lalu bagi tahun 1436H dan esok bagi tahun 1437H.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata persiapan majlis sambutan peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang berjalan lancar dengan raptai penuh diadakan hari ini.

“Persiapan sudah berada pada tahap 90 peratus dan kami juga sudah menyediakan sebanyak 12,000 buah kerusi yang akan diletakkan di dalam dewan untuk 125 kontinjen daripada pelbagai badan awam dan swasta.

“Tahun ini kita ada kira-kira 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang akan turut menyertai perarakan kita sambil berselawat. Kami harap ini akan menarik orang ramai untuk ikut serta,” katanya.

Othman berkata sambutan yang biasanya diadakan di masjid ditukar lokasinya ke dewan yang lebih besar untuk mengelak kesesakan.

“Sebelum ini bila kita adakan sambutan di masjid, banyak kontinjen yang tidak boleh masuk dan banyak antara mereka terpaksa berkumpul di luar,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, dijadual berangkat ke majlis itu, katanya.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung di RTM TV1 dan disambung siar di TV Al-Hijrah.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatan terbaru dalam laman blog beliau www.najibrazak.com memohon umat Islam memanjatkan kesyukuran di atas sambutan Maulidur Rasul berganda tahun ini.

Najib berkata prinsip perpaduan perlu terus dijadikan teras kekuatan dan ketinggian martabat masyarakat Islam.

Beliau berkata kehidupan yang harmoni dan bersatu-padu menjadi paksi kepada kewujudan sesuatu ummah.

Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini, katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1437H esok, yang dimuatkan di laman blog najibrazak.com.

“Justeru, amatlah penting kita hayati perpaduan ini dan terjemahkannya dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal, bermula dengan unit asas seperti keluarga, kejiranan malah ke peringkat negara dan antarabangsa,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata membina perpaduan merupakan antara Sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

Najib menegaskan atas asas itu, kerajaan akan terus berusaha memakmurkan negara untuk muncul sebagai negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa Maulidur Rasul disambut dua kali pada 2015, yang pertama pada Januari lepas.

“Pada 3 Jan lepas, kita menyambut Maulidur Rasul bagi 1436H dan esok 24 Dis kita meraikan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1437H. Alhamdulillah,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada umat Islam kerana baginda bersama para sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah.