Umno dan Barisan Nasional (BN) akan kelihatan lemah jika mahu merayu kepada kepimpinan tertinggi PAS terhadap keputusan Majlis Syura Ulama parti itu, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Lemah sangat kita nak merayu orang supaya kerjasama dengan kita. Kalau orang tidak mahu kerjasama dengan kita tidak payahlah kita merayu. Kita jalan atas kekuatan diri kita sendiri.
“Jika nak bincang sebarang isu besar nak ada persetujuan pendirian dua parti politik melayu terbesar kita (Umno) tiada masalah, tapi kalau nak merayu ambil kita (Umno) sebagai kawan tidak payahlah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dalam entri di blognya baru-baru ini yang mahu pimpinan tertinggi PAS mempertimbangkan semula pendirian Majlis Syura Ulamanya untuk tidak menyertai BN atau bersama UMNO.
Beliau ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda kali pertama tahun ini di Ibu Pejabat Umno petang tadi.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan, Umno tidak mempunyai perancangan untuk membuat sebarang kerjasama formal dengan PAS sebaliknya bersedia untuk berbincang sebarang isu membabitkan agama dan bangsa.
Beliau berkata, sehingga kini belum lagi ada kerjasama Umno-PAS secara rasmi di buat oleh Umno membabitkan pemimpin dua parti itu selepas keputusan dibuat oleh Majlis Syura Ulama.
“Kerjasama Umno-PAS tidak ada apa-apa kerjasama formal. Tiada perancangan untuk buat gabungan parti pun.
“Kita (Umno) sentiasa bersedia untuk bincang apa-apa isu melibatkan kepentingan bangsa dan agama.
“Malah Pemuda Umno-BN juga tiada apa-apa perancangan untuk buat kerjasama formal dengan mereka,” ujar Pengerusi Pemuda BN ini.
Ditanya mengenai Persidangan Pakatan Harapan dan pendirian PAS untuk bergerak sendiri tanpa DAP dan Amanah.
Khairy enggan mengulas lanjut hanya berkata, “Masalah orang lain saya tidak mahu cakap dan terpulang kepada mereka nak selesaikan masalah itu.” Ujarnya.