Seorang pemimpin Umno mengaku, parti itu takut orang seperti Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri sekarang bukannya parti Bersatu.
Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Umno takut kepada orang seperti Hamzah kerana dia suka jadi katak dan tikam dari belakang.
“Umno tidak takut pada PPBM. Umno tahu berapa jumlah cawangan dan ahli PPBM di Johor. Boleh dibilang jari.
“Umno hanya takut pada individu macam Hamzah. Suka jadi katak, pengaruhi orang jadi katak dan tikam belakang macam di Sabah,” tulis Puad.
Ketua Umno Batu Pahat itu juga berkata, beliau bimbang kalau-kalau mangsa Hamzah seterusnya adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sendiri.
“Tidak mustahil Muhyiddin mangsa seterusnya,” kata Puad.
Puad mengulas kenyataan Hamzah baru-baru ini ketika berucap di Bandar Baru Uda, Johor Bahru minggu lalu.
“Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa. Jika Umno tak takut, saya tak tahulah,” kata Hamzah ketika berucap dalam majlis tersebut.