Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Fahmi Fadzil mengesahkan 35 orang ahli Parlimen PKR telah mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menolak Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Mohd. Yassin.
Umno juga telah menghantar warkah dengan maksud yang sama kepada SPB YDA dan difahamkan semua parti politik diblok pembangkang juga telah melakukan perkara yang sama. Seri Paduka Baginda pasti akan menggunakan kebijakan Baginda untuk membuat keputusan demi untuk rakyat dan negara.
Walaubagaimanapun langkah politik dikalangan parti-parti politik nampaknya tidak terhenti setakat warkah kepada YDA menolak kepimpimpinan TSMY dan kerajaan PN. Terdapat ‘scheme of thing’ lain yang juga sedang bergerak, iaitu percubaan untuk menobatkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri Interim.
Adakah ini akan menyelesaikan kemelut politik? Adakah ini merupakan solusi untuk untuk menghadapi pandemik Covid-19 dan proses pemulihan? Memanglah benar YBM Tengku pernah menerajui Perbendaharaan sebagai Menteri Kewangan dan pernah menerajui Petronas, namun perkembangan dan lanskap ekonomi alaf baharu tidak lah serupa seperti era Allahyarham Tun Hussein Onn ketika YBM Tengku adalah merupakan Menteri Kewangan.
Dunia semasa dengan cabaran, perlumbaan, kekuatan rakan strategik, pemetaan semula ekonomi digital pasca Covid dan lanskap dunia masakini, negara memerlukan seorang pemimpin yang agresif, memiliki rangkaian strategik yang lebih meluas di Timor dan Barat, seorang yang inovatif dan penoh keterbukaan.
Begitu juga dengan Tun Mahathir. Benar beliau merupakan seorang negawaran pintar dan pernah menerajui negera. Beliau seorang yang pintar dan memiliki idea-idea yang boleh dikongsi, namun masih ramai lagi yang boleh menyumbang dialaf baharu ini dengan lebih efektif dan kreatif.
Pada masa yang sama, Umno sebagai sebuah organisasi politik sedang menghadapi masaalah ‘keabsahan’ anggota Majlis Tertingginya berikutan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menetapkan bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Menurut ROS ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu. Walaupun salah seorang Timbalan Menteri KDN merupakan ahli parlimen Umno, namun nampaknya Umno tidak mendapat manfaat atau maklumat awal dalaman mengenai keputusan ROS yang terletak dibawah KDN. Atau adakah ini merupakan salah satu ‘scheme of things’ untuk melumpuhkan Umno atau untuk memberi isyarat kepada Presiden dan MT Umno supaya ‘berhati-hati’ dan ‘jangan bercakap besar’.
Suasana semasa amat memerlukan Umno menyusun strategi untuk keluar dari kepompong alaf lama, berfikiran terbuka dan menstrategi penjajaran politiknya dengan betul. Jika Umno masih menempatkan dirinya seolah-olah seperti Maharaja Sakti yang tidak akan kalah dan tidak memerlukan rakan strategik politik yang jujur dan baik, maka Umno telah melakukan kesilapan.
Pengalaman bersama Barisan Nasional dan pengalaman pahit bersama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional tidak harus dipandang ringan. MCA seolah-olah mahu meminta fasakh dan MIC pula menganggap Umno mengelirukan. Maka, apakah pilihan lain yang ada bagi Umno?
Dengan situasi politik yang tidak stabil, keutamaan adalah untuk menyelamatkan negara. Diselamatkan dari krisis kepimpinan yang berpanjangan, krisis perlembagaan yang yang menggusarkan jiwa, hilangnya penghormatan terhadap YDA, pakej pemulihan pandemik yang lemah dan diselamatkan dari kepimpinan yang berjiwa keras serta buta matahati.
Bagi Umno yang masih diharapkan oleh sebahagian rakyat, beranjaklah dari ketaksubab dan masih merasa diri sebagai Maharaja Sakti yang mempunyai tongkat ajaib, Politik masakini bukan lagi politik pasca kemerdekaan. Politik kini adalah politik berpengetahuan (knowledge politics) dan bermaklumat, politik yang memerlukan rakan strategik (strategic partnetship) dan rangkaian (networking) yang jujur dan ikhlas.
Bersiap-sedialah untuk berubah kerana dengan kerap bersumpah ‘No Anwar, No DAP’ adalah merupakan ratib kebongkakan dan kesombongan. Tetapi aturlah strategi untuk membina semula Umno yang hampir lumpuh dan sedang hendak di’tidor’kan seperti saudara-saudara kita yang dijangkiti Covid-19 tahap 4 atau 5.
Gerakan politik lain juga perlu berubah selaras dengan perkembangan dunia. Kedudukan Malaysia yang unik dengan Raja Berperlembagaan hendaklah dipertahankan pada bila-bila masa, hak-hak orang Melayu mestilah dikekalkan selaras perlembagaan dan malah dibangun ketahap tertinggi.
Namun, kita jangan lupa bahawa negara ini juga unik dengan masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa. Namun, kita semua adalah anak-anak Malaysia yang perlu jatuh-bangun bersama Bagi yang berada ditampok kepimpinan adalah menjadi tanggung-jawab anda untuk memimpin negara kearah kesejahteraan, kemurnian akal budi, kesatuan dan bersoldariti.
Pertahankanlah Islam sebagai agama rasmi negara dan hentikanlah menunggang agama untuk kepentingan politik dengan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang praktikal sebagai rahmat kepada seluruh alam (tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit). Kita sudah tidak memerlukan ahli politik dan gerakan politik dengan pemikiran politik kolot, ketaksuban melampau, penunggang agama, perkauman sempit dan kesempitan akal budi serta pincang akhlak.
Akhirnya, yang sudah hilang bilangan angka majoriti untuk mentadbir negara, apa lagi pilihan yang ada, melainkan BERUNDURlah. Sesungguhnya negara ini memerlukan kepimpinan yang boleh membawa negara ini kepada penyelesaian strategik untuk keluar dari pandemik dengan segera.
Bagi kelompok parti politik yang bukan terdiri dari sebahagian Perikatan Nasional dan yang telah mengisytiharkan penolakan terhadap kepimpinan TSMY; buka mata hati-anda, berkerjasamalah, berundinglah dan jadilah rakan strategik untuk membina semula negara ini dari sebuah kerajaan dan kepimpinan yang gagal.
Sekiranya anda juga ada sifat angkuh, taksub, sombong dan masih berfikiran kolot, maka sesungguhnya anda juga adalah sebahagian dari punca kegagalan ini.
————————-
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pandangan penulisan dan tidak menggambarkan pendirian akademi.