Umno akan bergolak teruk selepas pelantikan Ahmad Bashah MB baharu, kata Amanah Kedah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail SallehParti Amanah Negara (Amanah) Kedah tidak menolak kemungkinan akan berlakunya pergolakan dalaman Umno negeri yang teruk rentetan daripada pelantikan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah hari ini, kata Pengerusinya  Datuk Dr. Ismail Salleh.

Beliau berkata, pastinya tindakan awal Ahmad Bashah  akan melakukan ‘pembersihan’ dengan menyingkirkan kumpulan pro Mukhriz dan diganti dengan orang-orang yang pro beliau.

“Sudah pasti Ahmad Bashah akan lantik orang-orang dia dan akan buang orang-orang Mukhriz dan Umno Kedah pastinya bergolak teruk selepas ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Dr Ismail berkata, pergolakan  dalaman politik di Kedah ini merupakan salah satu bentuk kerakusan pemimpin Umno dalam  episod perebutan kuasa di negeri itu.

Hal ini juga dakwanya tidak mustahil ada campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahu menyingkirkan individu yang menolak kepimpinannya.

Katanya, Mukhriz tidak menyatakan sokongan kepada Najib berikutan serangan berterusan kepimpinan tertinggi parti itu terhadap  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bapanya.

“Cerita nak buang Mukhriz ini bukan baru lama dah tapi disebabkan halangan tertentu, dua minggu lepas baru menjadi.

“Ini adalah salah satu bentuk kerakusan Umno, rakus kuasa nak memusatkan kuasa kepada Najib sahaja.

“Najib nak pastikan dia kuasai semua benda. Apabila orang yang tidak sependapat dengan dia akan dibuang dan ini belum habis lagi mungkin ada lagi selepas ini,” katanya.

Majlis pelantikan Ahmad Bashah dan upacara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu negeri itu akan diadakan di Istana Anak Bukit pada jam 10 pagi ini.

Semalam Mukhriz membuat pengumuman peletakan jawatan  menteri besar dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman  dan pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar Kedah yang baharu diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din.

Mukhriz bersetuju untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri besar selepas dimaklumkan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu.

Seramai 21 Adun BN dan 15 Adun pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Krisis politik di Kedah tercetus berikutan Adun dan ahli Parlimen  dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Ahmad Bashah menyuarakan secara terbukahilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 Adun BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.