Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang bakal melabuhkan tirainya, hari ini diharap dalam mengembalikan perpaduan dan menjadikan parti Melayu itu kuat semula,sambil menegaskan sokongan kepada pemimpin itu, perlulah tidak berpihak kepada sesiapa, demikian kata Ketua Bahagian Umno Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
“Kita nak pemimpin yang berintegriti, yang beramanah, bertanggungjawab, merasai nadi rakyat, pemimpin seperti ini yang kita mahu.
“Saya nak tengok Umno bersatu, saya tak peduli kepada personaliti, saya nak tengok (parti) bersatu, kembali kuat semula seperti sediakala,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Beliau juga diminta mengulas kenyataanTimbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang mengingatkan tentang ciri-ciri pemimpin yang wajib ditaati seperti dituntut dalam Islam.,
Antaranya pemimpin yang taat kepada titah perintah ALLAH, amanah, jujur, berintegriti dan bersih, serta menjauhi perkara-perkara mungkar.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau Ku Li berharap resolusi perhimpunan parti itu hari ini dapat mengatasi pelbagai masalah yang timbul sejak akhir ini.
“Saya harap perkara masuk akal akan terbongkar dan Umno akan bersatu sekali lagi dan semua orang akan keluar dengan terbuka hati, dengan hati yang berani,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang tindakan disiplin ke atas Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bakal melemahkan parti, beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada Lembaga Disiplin parti.
“Sesetengah orang akan rujuk kepada Lembaga Disiplin kerana terlalu emosi, bergantung kepada keadaan, dan kebarangkalian. Saya tak tahu, kita serahkan kepada mereka yang membuat penghakiman,” katanya lagi sebagaimana dipetik dari portal media online.