Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Umno menyelesaikan segera krisis kepimpinan, agama, ekonomi dan pendidikan sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) untuk menentukan ke arah mana sokongan 600,000 ahli pertubuhan itu terhadap Umno, demikian tegas Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
Beliau berkata, jika Umno mahu terus mendapat sokongan orang Melayu, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu segera menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.
“ Kita lihat pada 2017 nanti, barulah kepimpinan Perkasa akan menentukan ke mana arah kita.
“Saya akan merayu kepada seluruh ahli Perkasa, berilah keyakinan kepada kami menjaga survival agama,bangsa dan negara. Kita tidak sentimental kerana ‘parti’ semata-mata yang penting apakah pengisian dan perjuangan parti yang diberikan kuasa itu kelak.
“Kita akan kaji dan kita mesti jadi penentu sokongan kali ini. Kita menjadi vocal dengan adanya kepimpinan Perkasa di setiap Parlimen kini cecah lebih 2,000 dan di Dun 1,000 setiap kawasan bila sampai 2017 nanti.
“Ia akan berlaku sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan, saya sebagai Presiden akan isytiharkan sebagai ahli dan pengundi parti mana yang patut kami sokong,” ujarnya dalam ucapan Alu-aluan di dihadapan 3,000 perwakilan dan ahli seluruh negara yang turut hadir pada Persidangan Agung Tahunan Ke-6 Perkasa yang diadakan di Pusat Islam pagi tadi.
Beliau juga berkata, Umno sebagai parti terbesar mewakili orang Melayu menghadapi krisis kepimpinan yang semakin tenat.
“Umno sedang menghadapi krisis kepimpinan yang maha besar.
“Pada 1987 Umno diharamkan. Pada 1990 Umno tetap menang majoriti di Parlimen, walaupun ditentang Semangat 46 yang disokong Angkatan Perpaduan Ummah dan Angkatan Perpaduan Rakyat.
“Tetapi jelas Landskap politik sudah mula berubah. Pengundi bukan Melayu majoritinya mengundi BN sudah beralih angin dua kali, pada pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 yang lalu.
“Hari ini jika Umno dalam keadaan ‘super krisisnya’ itu, saya tidak tahu macam manalah nak kata,” ujarnya yang melihat kepada tentangan ahli akar umbi kepada parti itu terhadap kepimpinan Najib.
Sebagai sebuah pertubuhan, Perkasa mahu kepimpinan Umno menyelesaikan isu-isu berbangkit membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Apa yang penting isu-isu yang diperjuangkan Perkasa membabitkan kepentingan orang Melayu, agama dan bangsa, kena selesaikan dahulu dengan segera kalau Umno mahu terus kekal berkuasa.
“Jika Umno gagal menyelesaikan isu-isu ini, kalau PAS yang sudah berpisah dengan DAP mampu menunjukkan kepimpinan yang progresif berjaya memerintah Kelantan sudah 25 tahun ini membuktikan mereka boleh membangunkan Kelantan sebagaimana Umno boleh bangunkan negara selama ini.
“Tidak mustahil PRU14 kalau Umno masih tidak boleh selesaikan masalah pemimpin dan menimbang semula desakan rakyat, sedangkan PAS sudah ada dilandasan yang betul dengan adanya semangat progresifnya, saya tidak tolak kemungkinan PAS akan mewakili parti orang Melayu terbesar kelak,” tegasnya yang memberi gambaran Umno akan kecundang pada PRU14.
Walau bagaimanapun beliau mengingatkan pemimpin PAS juga mesti membuktikan keupayaan mereka untuk menarik pengundi Melayu, tidak cukup setakat retorik semata-mata.
“ Tidak kira apa pun parti, seorang pemimpin mestilah bersih ,amanah, berkeupayaaan, inovatif, dan apa dicakapkan itu dikotakan, tidak boleh bersifat hipokrit dan munafik.
“ Hari ini PAS dan Umno kena ‘bersaing’, walaupun disebut akan bekerjasama saya gembira jika mereka dapat bekerjasama membawa perpaduan ummah,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Agung PAS , Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihanraya, Datuk Mustafa Ali.
Kata Ibrahim lagi, ketiadaan Umno di persidangan mungkin terlalu sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Krismas.
“Kita telah menghantar surat jemputan kepada Umno dan kemudian hantar jemputan ‘by hand’ kepada Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan Umno kerana bimbang apabila wakil Pas datang mereka cakap mereka tidak dijemput.
“Tetapi tak hadir mungkin UMNO sibuk nak sambut Krismas,” katanya disambut ketawa dikalangan hadirin.