Umno setuju kerjasama dahulu, politik kemudian

Oleh BORHAN AHMAD

Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS mahu bekerjasama dengan Umno untuk memperkukuhkan Islam adalah keputusan yang positif bagi membolehkan kerjasama politik terjalin kemudian hari.

Exco Pemuda Umno Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, tidak semestinya kerjasama Umno-PAS itu perlu dimulakan dengan kerjasama politik semata-mata.

Ini kerana, katanya dasar Umno yang meletakkan kepentingan bangsa, agama dan raja Melayu sebagai perjuangan utama parti.

“Jadi kalau salah satu daripada dasar itu dipenuhi maknanya sudah terjalinlah kerjasama itu.

“Jika majlis syura ulama PAS hanya mahu jalin kerjasama mengukuhkn Islam sahaja, kita harus sambut baik walaupun tidak mahu sentuh hal-hal politik.

“Saya juga sudah katakan hal kerjasama ini dalam tulisan saya sebelum ini, kedua parti perlu mulakan kerjasama dari sudut kepentingan umat Islam terlebih dahulu dan soal politik itu pastinya akan berlaku kemudian.

“Ini kerana hal-hal berkaitan umat Islam hanya akan terbela dan terpelihara sekiranya salah satu pihak ada ‘political will’ untuk membina idea, melaksana idea atau menambah baik sesuatu isu berkaitan kepentingan umat Islam,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Fathul Bari juga menegaskan, agak sukar bagi dua parti itu untuk meletakkan asas ‘politik’ bagi tujuan kerjasama walaupun dalam tujuan pilihan raya.

“Biarlah kita bekerjasama dalam hal-hal menyentuh kepentingan umat Islam,” ujarnya.