‘Umno tak bunuh karakter Mahiaddin, Presiden Bersatu itu yang koyak sendiri’ – Shahrir

Oleh KIM SYAZIE

Episod ‘bercakaran’ antara dua parti di dalam kerajaan, Umno-Bersatu berterusan sehingga hari ini apabila veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad tampil menempelak Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful dalam hantarannya di Facebook semalam mendakwa Umno cuba membunuh karakter Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dengan mendakwa Umno selama ini telah melempar pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan Mahiaddin mentadbir negara.

Shahrir dalam respon ringkas di Facebook,menyelar dan berkata Umno tidak perlu merosakkak karakter Mahiaddin kerana Ahli Parlimen Pagoh itu sudah pun ‘koyak’ sendiri.

“Ini seorang lagi. Tak payah bunuh karakter Mahiadin pun. Presiden PPBM itu yang ‘koyak’ sendiri.

“Satu negara menyaksikan tak pasal-pasal Parlimen digantung. Sampai Raja-Raja Melayu pula yang terpaksa selamatkan demokrasi berparlimen.

“Kemudian, nak selamatkan jawatan, buat tawaran kepada pembangkang yang dikhianatinya sendiri. Mana mahu pembangkang nak tengok Mahiadin kekal sebagai PM,” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful mendakwa Umno mahu menghapuskan sejarah kecekapan Mahiaddin mengemudi negara semasa krisis dan terkini, Umno juga seperti mahu membunuh karakter Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau memberi peringatan kepada rakan sekapalnya bahawa mereka (Bersatu, Pas) juga mempunyai had kesabaran.

Bahkan katanya, pada bila-bila masa sahaja mereka boleh mendedahkan segala kepincangan yang dilakukan Umno semasa memerintah dahulu dan segala perancanga yang cuba dilakukan kini.

“Wan Saiful janganlah pula nak teruskan main ugut. Minta Presiden PPBM dan Pengerusi PN tekan butang je lah,” ujar Shahrir lagi dalam hantarannya.

Hubungan Umno dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagai retak menunggu belah dengan beberapa siri kenyataan para pemimpin Pas yang mengecam Umno susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bulan lalu