Pelakon, Bell Ngasri tidak menyangka pencalonan pertamanya di dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 berjaya meraih perhatian ramai.
Tercalon dalam kategori Artis Komedi Popular, Bell juga terharu dengan sokongan peminat yang datang daripada pelbagai negeri dan juga latar belakang.
Malah, pelbagai persatuan turut mula melancarkan kempen mengundi dan promosi bagi memastikan Bell Ngasri berjaya bergelar pemenang.
Oleh yang demikian, Bell tampil memberi penghargaan terima kasih semua pihak yang memberi sokongan termasuklah beberapa kumpulan dari laman Facebook.
Menurut hantaran Bell di Instagram, antara kumpulan yang terlibat ialah Sabahan Stories by Renanongyong, Persatuan Ibu-Ibu Comel Mengandung dan Suka Filem.
“Saya tak sangka dapat sokongan sebegini rupa. Dari negeri yang bukan asal saya pun ada. Kawan-kawan artis yang lebih hebat dan popular pun ada.
“Persatuan itu, persatuan ini. Tetapi yang tak tahan, persatuan ibu mengandung pun ada. Terus terbayang ibu yang mahu bersalin pun masih mengundi,” katanya.
Bell bagaimanapun tidak terlalu mengharapkan dirinya untuk menjadi pemenang dan sudah bersyukur telah berjaya melayakkan diri dalam senarai Top 5.
Menjangkau usia 43 tahun, populariti Bell Ngasri kian meledak selepas melakonkan watak Barkoba di dalam telefilem 16 puasa, 17 puasa dan 18 puasa.
Difahamkan, ini adalah kali pertama pelakon itu tercalon dalam kategori artis komedi selepas hampir tiga dekad menceburkan diri dalam bidang seni.
Menyifatkan pencalonan dalam ABPBH sebagai perkara yang bermakna, Bell tidak mahu mengejar populariti dan ikhlas bekerja sebagai anak seni bagi mencari rezeki.
Terdahulu, Bell Ngasri secara berseloroh berjanji akan belanja peminat makan tengah hari di bulan Ramadan sekiranya berjaya memenangi ABPBH.
Baca juga: Tak puas hati kena hon, lelaki bawa parang masa bertengkar ditahan polis