Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan dengan bantuan Pejabat Peguam Negara kemungkinan bakal meminda beberapa peruntukan undang-undang yang kritikal dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, ia adalah bagi mengembalikan hak penduduk Sabah dan Sarawak seperti yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Ini merupakan salah satu keutamaan kerajaan dan saya meletakkan sasaran menyiapkan proses bagi membentang rang undang-undang (RUU) berkaitan di Parlimen dalam tempoh 100 hari sekali gus menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diri saya.
“Justeru, kerajaan telah merangka rancangan pelaksanaan yang menyeluruh bagi menjayakan perkara ini dan ia dilihat bergerak mengikut jadual.
“Kami juga optimis dapat menyiapkannya mengikut tempoh 100 hari seperti yang ditetapkan,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Bernama selepas melakukan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di Sabah, semalam
Dr Wan Junaidi menegaskan rang undang-undang itu memerlukan sokongan suara ramai bagi diluluskan dan sehubungan itu ia memerlukan libat urus yang mendalam dalam kalangan pemegang taruh termasuk Ahli Parlimen dan rakyat.
“Inilah pada dasarnya apa yang sedang saya lakukan, bertemu dengan pemimpin, pegawai kerajaan tertinggi di Sabah dan Sarawak, menjelaskan kepada mereka mengenai perkara terbabit.
“Ini merupakan agenda yang penting bagi kita dan saya harap penduduk Sabah dan Sarawak akan menyokongnya tanpa mengira pandangan politik,” jelasnya lagi
Beliau seterusnya berkata kementeriannya memfokuskan kepada inisiatif transformasi kerajaan serta Parlimen serta meneliti MA63 sebagai sebahagian daripada indeks prestasi utama (KPI) 100 hari.
“Saya optimis bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, komited dalam pembangunan Sabah dan Sarawak, yang merupakan salah satu bidang keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kebenaran memang pahit untuk diterima…, walaupun setelah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun, lebih dari 40 peratus penduduk di Borneo masih tinggal di kawasan luar bandar, kekurangan kemudahan dan prasarana asas seperti ketersambungan, komunikasi, elektrik, pendidikan dan juga penjagaan kesihatan.
“Saya harap di bawah RMK12, lebih banyak pembangunan dan kemajuan akan berlaku di Sabah dan Sarawak supaya kita dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur yang sama dengan penduduk di Semenanjung,” tegas Dr Wan Junaidi.