DAP menyatakan keyakinan majoriti besar Ahli Parlimen akan menyokong usul undi percaya untuk membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang nanti.
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata beliau berharap Anwar akan mencapai sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen ke atas undi berkenaan.
“Saya yakin Ahli-Ahli Parlimen yang berprinsip akan memberikan sokongan kepada Anwar, dan saya berharap ia akan dapat mencapai majoriti dua pertiga.
“Maka negara kita akan mampu menghantar mesej cukup jelas yang mana Kerajaan Perpaduan di Malaysia hari ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh, padu dan stabil.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh 222 orang Ahli Parlimen agar menyokong usul undi percaya itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kepayang, pada Ahad.

Sokongan terhadap usul undi percaya ini bukan sahaja mampu menarik ramai pelabur asing, malah ia secara tidak lansung dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi untuk rakyat.
“Negara kita kini amat memerlukan kestabilan politik supaya kerajaan yang ada pada hari ini dapat memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat,” katanya lagi.
Kor Ming juga mengumumkan perancangan pembangunan untuk Bandar Raya Ipoh antaranya pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Pekan Lama, naik taraf Pasar Besar serta pembangunan semula Pangsapuri Waller Court.