Pendaftaran automatik Undi18 tetap akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ini selepas Kabinet memutuskan untuk tidak membantah keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini yang menetapkan bahawa pendaftaran pengundi (Undi18) akan dilakukan bermula Januari 2022.
Katanya, Kabinet membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan mahkamah walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September 2022.
“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini. Tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.
“Tidak merayu bermakna keputusan kekal iaitu tarikh akhir 31 Disember (Untuk laksanakan Undi18), dan 1 Jan bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan, hari ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Untuk rekod pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.