Dengan menggunakan van Volkswagen Transporter model 1980-an, enam sekeluarga mencari kelainan sempena Syawal tahun ini dengan menaiki ‘camper van’ beraya sambil mengembara satu Malaysia.
Mohd Izani Baharum, 39, bersama isterinya Noor Azimah Abdul Mutalib, 35, serta empat anak mereka memulakan perjalanan pada hari raya baru-baru ini
Keluarga berkenaan kini menjelajah dengan menziarahi keluarga dan rakan sambil menikmati keindahan sepanjang perjalanan.
Menurutnya, impian untuk mengembara sudah lama terpendam namun bersyukur ia dapat direalisasikan tahun ini.

“Apabila kerajaan longgarkan prosedur operasi standard dan aktiviti rentas negeri serta ziarah dibenarkan, saya dan suami mula merancang untuk menjelajah Semenanjung bersama anak-anak.
“Kami akan singgah di setiap negeri untuk menziarahi keluarga dan rakan sambil berkunjung ke lokasi menarik untuk bermalam.
“Konsep ‘camper van’ ini membolehkan kami singgah di tapak perkhemahan untuk tidur dan memasak tanpa perlu menempah hotel atau rumah inap,” katanya ketika dipetik Harian Metro.
Beliau berkata, suaminya sudah mengubahsuai van yang digunakan agar sesuai untuk dijadikan tempat tidur untuk mereka sekeluarga.
Katanya, lokasi tapak perkhemahan pula biasanya ada menyediakan surau, tandas dan ia memudahkan mereka untuk berehat seketika.
“Jika terasa letih, kami akan singgah di kawasan pantai atau sungai yang menyediakan kemudahan untuk berkhemah sebelum memulakan perjalanan keesokan harinya.
“Konsep kembara sambil beraya ini memang menarik kerana boleh ‘berjalan’ dan ziarah dalam masa yang sama.
“Anak-anak juga gembira kerana sudah lama tidak bercuti, tambahan pula konsep kali ini berlainan menyebabkan mereka juga teruja,” katanya.
Baca juga: Masih Islam, Syazwan Zulkifli hanya pakai tatu sementara
Baca juga: Rakyat Thailand dibenarkan tanam pokok ganja di rumah, tetapi ada syaratnya