Usah robak jalinan idealisme dengan ketololan nista, kata AMK Kedah kepada MUDA

Oleh NASUHA RAHMAN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menzahirkan kekesalan yang teramat sangat terhadap MUDA Kedah yang telah memuat naik poster kontroversi berbaur penghinaan tersirat dan kecaman tidak berasas yang mengaitkan PKR dan PH dengan amalan bobrok korupsi yang terus membarah tatkala ini.

Menurut Ketuanya, Mohammed Firdaus Johari, ungkapan dan ilustrasi dalam poster tersebut menggambarkan ketdakfahaman terhadap hakikat sejarah politik Malaysia yang sebenar.

“Walau apa pun jua justifikasi dan permohonan maaf atas ketidakpedulian menjaga sensitiviti hubungan kerjasama ini, tindakan tersebut seakan-akan ‘menyantau secara tersirat’ dan ia dianggap kelicikan politik yang harus segera dibuang agar tidak lagi berlaku serangan sulit sepertimana yang telah terjadi kepada kerajaan PH terdahulu dengan ‘Langkah Sheraton’.

“Samada sedar atau tidak, sinis dan sindir bersahaja tanpa memahami hakikat sebenar merupakan racun kecil yang melarat menjadi virus fitnah dalam persahabatan dan kemanusiaan di masa kini.

” Usah bicara soal perubahan penambahbaikan atas nama kebenaran, sekiranya adab dan sahsiah tidak selari dalam siasah oleh kerana tiada kebaikan dalam kegopohan dan ketergesaan, ‘ ujar beliau dalam satu kenyataan.

Saran Firdaus, jiwa muda harus dikawal dengan akal dan akhlak serta bukannya menurut rasa angkuh yang semberono.

Katanya lagi, perkembangan jalinan kerjasama yang positif buat MUDA menjelang PRN Johor merupakan kematangan parti-parti politik senior terhadap ‘bayi’ yang baru lahir dan belum lagi diuji kekuatannya zahir dan batin, tetapi bersemangat membuat perubahan dalam kebaikan.

Sejajar dengan itu soal beliau, kenapa tangan yang sedang mendukung dengan penuh belaian kasih harus digigit.

Malah katanya lagi, barisan pimpinan MUDA Kedah dan juga peringkat Pusat harus sedia mendengar teguran dengan rasa keterbukaan dan keinsafan serta tidak mengulangi lagi apa yang telah berlaku kerana teguran yang dibuat sebenarnya hadir dengan ketegasan yang benar-benar membara.