AMANAH Sarawak mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) takut kepada penglibatan Undi 18 tahun ekoran desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat ini.
Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, beberapa kenyataan pemimpin GPS termasuk Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggambarkan seolah-olah Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan diadakan sebelum tamatnya Proklamasi Darurat 2 Februari tahun depan.
Katanya, jika benar kerajaan negeri di bawah GPS mengambil keputusan membubarkan DUN ketika ini, ia bermakna Undi 18 tidak dapat dilaksanakan pada PRN12 nanti.
“Nampaknya GPS seolah-olah takut apabila Undi 18 dipraktikan kelak sekiranya PRN12 diadakan selepas proklamasi darurat yang berakhir tahun depan.
“Justeru, sebab itulah GPS cuba menamatkan proklamasi darurat dalam masa terdekat ini sekali gus membubarkan DUN secepat mungkin supaya Undi18 belum dapat diguna pakai,” tegas Hud Andri dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.
Jelas beliau lagi, GPS sebenarnya mengetahui bahawa jika Undi18 dilaksanakan pada tahun depan, ia bakal mengurangkan majoriti calon-calon dalam kalangan mereka selepas banyak isu berkaitan golongan remaja dan belia belum dapat diselesaikan.
Antara isu yang paling terkesan, ujar Hud Andri ialah masalah rangkaian internet bagi golongan berkenaan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun kerajaan berjanji menyelesaikannya.
“Saya bukan nak kata GPS kalah tetapi penurunan majoriti disebabkan undi18 sesuatu yang tidak sanggup dihadapi oleh mereka dan tidak mustahil terdapat DUN GPS yang bakal tumbang dan kalah disebabkan undi18 ini,” katanya.
Selain itu, tambahnya keputusan GPS melarang sekeras-kerasnya parti gabungan Perikatan Nasional (PN), bertanding pada PRN12 hanyalah dilihat sekadar retorik sahaja.
“Jika Bersatu dibenarkan bertanding di Sarawak pada PRN12 nanti..ia adalah sesuatu yang kelakar.
“Apa pun kita tunggu apa berlaku hari ini. Namun yang pasti Pakatan Harapan (PH) tetap bersedia…awal ataupun lambat,” kata beliau