Usah polemikkan kewujudan MPI, kata Asyraf Wajdi

Oleh MALAYSIADATELINE

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap penubuhan Majlis Perundingan Islam (MPI) menjadi faktor penyatu dalam mencari titik persamaan untuk menyantuni perbezaan bagi memartabatkan Islam di negara ini.

“Usahlah mempolemikkan atau mempolitikkan kewujudan MPI,” ujarnya dalam ruangan Fikrah di Sinar Harian hari ini.

Asyaf Wajdi menerangkan MPI adalah wahana penyatuan fikrah dan kerjasama merentasi ideologi dalam melaksanakan kebaikan demi menyahut seruan Allah swt.

Justeru katanya, keterujaan masyarakat masyarakat jelas tergambar tatkala beliau memuat naik di facebooknya yang hampir sejuta pengunjung dengan ribuan berkongsi status tersebut.

“ Mungkin inilah petunjuk masyarakat yang mulai menyampah dengan fenomena konflik permusuhan semacam tiada kesudahan kalangan manusia politik hinggalah kepada mereka yang berstatus agamawan dan ulama.

“Ramai menaruh harapan tinggi terhadap MPI sebagai wahana yang dapat menyatukan umat Islam terutamanya kalangan kelompok dan individu pelbagai latar belakang tanpa mengira fahaman politik, ideologi, manhaj pemikiran mahupun orientasi gerakan.

“Keterujaan Sememangnya dunia fitnah yang digambarkan Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lampau kini terjelma. Umat Islam bagaikan sukar bersatu dan bersepakat walaupun tuntutan agama mengenainya jelas termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Kalangan orang awam, pemimpin atasan dan agamawan dihinggapi sindrom ‘mati rasa’ untuk bersatu.

“Seringkali keegoan diri lebih mendominasi sehinggakan setiap perkara hendak dipertelingkahkan berbanding mencari jalan penyelesaian secara toleransi dan berlapang dada. Oleh itulah Islam menganjurkan syura dengan adab dan akhlak menjunjung prinsip adabul ikhtilaf atau bersetuju untuk tidak bersetuju,” jelasnya.

Menyedari hakikat inilah dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Perdana Menteri pada 24 November 2015, menyuarakan hasrat agar Majlis Perundingan Islam (MPI) dihidupkan semula mulai 2016.
Penubuhan MPI juga merupakan kesinambungan daripada penyusunan semula Badan Perundingan Islam (BPI) yang pernah wujud sejak tahun 1982.

BPI bertindak sebagai jawatankuasa pemikir yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap agenda pembangunan negara khususnya dalam perkara pengurusan hal ehwal Islam.

Mungkin ramai yang tidak menyedari hakikat peranan BPI atau MPI berjaya mencetuskan pelbagai idea inovatif dalam hal ehwal agama Islam hingga direalisasikan sebagai dasar dan polisi penting kerajaan.

Antaranya Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam; Penubuhan Institusi Kewangan Islam seperti Bank Islam, Takaful; Penyusunan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM); Pelaksanaan skim pembiayaan perumahan dan kenderaan berlandaskan Islam; Pelaksanaan pengajian Fiqh Muamalat di Universiti tempatan; Penerapan nilai-nilai Islam dalam bidang perundangan; Pemakaian alat perakam waktu di agensi kerajaan dan swasta; Peruntukan tempat beribadat di pejabat; Pewujudan fungsi kajian makanan dan barangan gunaan orang Islam di Jakim; Pelaksaan program pembangunan insan; dan Penerbitan buku rujukan utama dalam pentadbiran negara.

Katanya lagi, MPI turut bertindak sebagai jawatankuasa yang menggabungkan tenaga pakar dari pelbagai disiplin ilmu sebagai think tank dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak, khususnya yang melibatkan agama dan kepentingan umat Islam. Selain itu, MPI juga dilihat mampu menjadi landasan antara kerajaan dengan golongan cendikiawan Islam dan ulama dalam merealisasikan agenda ummah.