Ustaz Azhar Idrus jelaskan hukum pakai baju baru, cantik sempena sambutan Hari Raya

Oleh WAN SITI AMINAH

Setiap kali menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat terutama yang beragama Islam sudah tentu merasa teruja untuk membuat persiapan menyambutnya termasuk dengan membeli pakaian baharu dan cantik.

Amalan ini bagaimanapun menimbulkan tanya daripada sesetengah pihak yang mungkin kurang berkemampuan untuk membeli baju raya cantik dan baharu walaupun perayaan tersebut hanya dilakukan setahun sekali.

Perkara ini turut ditanya oleh salah seorang jemaah yang hadir di dalam satu sesi ceramah oleh pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum pembelian pakaian sempena hari raya.

Menurut pendakwah yang lebih mesra disapa sebagai UAI itu, hukum memakai pakaian cantik dan baharu pada hari raya adalah sunat terutamanya bertujuan untuk meraikan perayaan umat Islam.

β€œSunat memakai pakai pakaian yang cantik untuk semua orang tua, kanak-kanak tidak kira sama ada lelaki ataupun perempuan. Hal ini kerana ia bertujuan untuk meraikan perayaan dalam Islam.

β€œSama ada pakaian itu murah ataupun mahal, ia tidak ada masalah. Janji pakaikan itu istimewa,” jawab pendakwah terbabit dalam satu sesi ceramah yang sempat dirakam sebelum dikongsikan di platform TikTok.

Pendakwah yang berasal dari Terengganu itu juga sempat memberi pesan kepada anak-anak agar tidak melupakan ibu bapa di dalam membuat persiapan raya termasuklah membelikan baju baharu buat mereka.

Jelasnya, perbuatan ini dapat menggembirakan ibu bapa ketika bulan Syawal tiba selain satu tanda penghargaan kepada pengorbanan mereka sepanjang membesarkan anak-anak yang seharusnya dikenang.

β€œBelikanlah kepada ibu bapa walaupun harganya murah sahaja. Mesti mereka akan suka. Esok apabila mereka pakai, mesti akan rasa bangga sebab anak yang belikan. Walaupun beli di pasar malam, namun hatinya gembira.

β€œBukan nak marah beli dekat isteri, tetapi ingatlah kepada ibu ayah. Mak ayah dulu susah cari duit, turun awal pagi untuk menoreh atau ke laut nak cari wang untuk sekolahkan anak.” Ujarnya dalam sesi ceramah tersebut.

Baca juga: Teruk difitnah, Alicia Amin hilang minat nak jual Rendang Tok