Saya membaca dengan teliti tanpa prejudis perakuan rasmi Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Ehwal Pengguna, Nurkhuzaini Abd Rahman yang mendakwa bahawa angka 20,000 penyediaan peluang kerja telah dicapai selama 4 tahun Pas mentadbir negeri.
Kenyataan beliau ini seakan seiring sejalan dengan majlis ‘flag off’ anak muda Terengganu ke Shah Alam untuk berjihad mencari rezeki di mana beliau meletakkan angka sebanyak 21,977 peluang kerja telah dicipta. Yakni, secara purata 10,000 kerja kosong dicipta setiap tahun. ( TRDI, 8/1/2021).
Data ini dimaklumkan dicerap daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO melalui satu unit bergaji yang ditubuhkan di bawah negeri, iaitu THRDC (Pusat Pembangunan Sumber Manusia).
Sekali lagi, tanpa prejudis; data ini bermakna manifesto telahpun ‘achievable’ belum pun genap sepenggal 5 tahun. Ia wajar dipuji. Wajar jika indikator ini dimurnikan penjelasannya agar tiada sebarang kekeliruan dari sebarang tampalan. Boleh juga dibaca sebagai tempelan.
Mengapa tempelan? Kerana 2 tahun sebelum tahun baru 2022 ialah tahun-tahun gerhana PKP. 2020-2021 menyaksikan begitu ramai orang kehilangan kerja. Perniagaan ditutup. Kadar pengangguran meningkat. Dan KDNK negeri menunjukkan kemerosotan di semua sektor ekonomi.
2019 hingga 2020: Kadar pengangguran meningkat dari 17,200 kepada 19,800 orang. Kadar pengangguran siswazah meningkat dari 3.5 peratus kepada 4.1 peratus. Tidak peliklah peranan THRDC akhir menjadi moderator ala job street yang menghantar satu bas ke Shah Alam bagi memenuhi pasaran kerja kilang.
KDNK negeri juga menunjukkan angka purata penurunan -5.7 peratus meliputi semua sektor ekonomi; Pertanian (-3.4 peratus), perlombongan (-7.9 peratus), pembuatan (-9.4 peratus), pembinaan (-7.3 peratus), perkhidmatan (-3.4 peratus).
Nyata sekali, semua menurun dan gagal. Kecuali pembalakan tidak dinyatakan penurunan kecuali penghanyutan.
Oh maaf, itu sektor ekonomi negeri lain.
Dan harus diingat, kerajaan negeri menerima royalti sebanyak RM1.2Bilion yang diluluskan oleh menteri kewangan DAP.
Dalam semua kekagetan ini, dan barangkali selepas disindir teruk netizen akan upacara lambai bendera naik bas, maka exco sumber manusia tampil menyatakan sebanyak 8,917 kekosongan kerja belum terisi.
Seakannya peluang kerja begitu rancak dikala rakyat melihat dengan mata lendir saban hari betapa makin ramai membuka kiosk niaga di tepi jalan dan menjual jeruk balang di setiap simpang jalan lampu isyarat.
Undang-undang PBT yang digazet sendiri oleh kerajaan negeri untuk menghalang niaga di simpang lampu isyarat tidak mampu untuk dikuatkuasakan. Kita faham ketidaksanggupan ini datang dari perasaan serba salah untuk bertindak tegas dikala begitu ramai belia sudah hilang mata pencarian. Dimaafkan.
Lalu bagaimana unjuran angka 20,000 ini dinobatkan sebagai dicapai? Sekali lagi tanpa prejudis, andaian boleh dibuat iaitu ‘Exco Apps GanuShop Tak Download’ ini barangkali mencampurkan angka penempatan kerja sementara yang diprogramkan di bawah Perkeso.
Apabila beliau sendiri menyebut bahawa THRDC mendapat data dari JTK dan PERKESO, boleh difahami angka ini boleh diambil dari angka-angka skim program sangkutan yang dijalankan oleh Kerajaan Pusat.
Skim-Skim seperti Program Perantisan 3 bulan, Program Perantisan 6 bulan, Penjana Kerjaya 12 bulan, dan Kerjaya Gig banyak dilaksanakan oleh Perkeso dengan menempatkan sementara tenaga kerja belia dan siswazah di syarikat-syarikat IKS bagi mengelakkan perniagaan ini gulung tikar di samping membantu menempatkan pekerja baru untuk diserap masuk secara perlahan-lahan.
Ia tidak bermaksud mencipta peluang kerja baru. Mungkin ada, tetapi tidak kepada capaian angka baru 20,000. Dan sifatnya juga adalah sementara bergantung kepada kelulusan Bajet Nasional. Habis bajet, maka tamatlah program.
Exco, THRDC, UPDI, dan TRDI tidak perlu susah payah menyaman saya atas kenyataan ini. Untuk klusterkan penulisan pandangan ini sebagai subjek laporan polis seperti selalu dibuat, itu terserahlah.
Yang lebih afdal itu ialah kerajaan negeri boleh perincikan lagi bentuk penempatan pekerja itu di mana, di sektor apa dan lebih molek jika dinyatakan nama institusi yang telah mengambil pekerja itu tidak kisahlah awam mahupun swasta.
Dan terbaik angka ‘achievable’ itu kita mahu tahu, sama ada ia bekerja di Terengganu keseluruhannya atau turut dikira sekali yang naik bas ke bandar Shah Alam, Kota Putera, Besut, Terengganu Darul Iman.
Ketua Pemuda Amanah Terengganu