Victor akui kesilapan, mohon maaf isu Jalur Gemilang terbalik pada jersi dipakai Lee Zii Jia

Oleh WAN SITI AMINAH

Penaja jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia iaitu Victor Malaysia tampil memohon maaf atas kesilapan berhubung jersi dipakai atlet terbabit di dalam kejohonan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 pada Rabu lalu.

Menurut syarikat peralatan sukan dari Taiwan itu, logo Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di jersi Zii Jia tidak mencerminkan rasa hormat mereka terhadap simbol kebangsaan Malaysia.

Merasa amat kesal dengan sebarang tindakan yang tidak disengajakan berhubung kejadian itu, Victor Malaysia juga menyatakan komited mereka untuk menjalankan siasatan agar kesilapan sama tidak berulang lagi.

Permohonan maaf secara rasmi berhubung insiden Jalur Gemilang terbalik di jersi pemain badminton profesional negara itu dikongsikan oleh Victor Malaysia selaku penaja penuh menerusi satu hantaran di platform X.

“Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan yang tertera pada baju jersi ketika Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.

“Kesilapan ini tidak menggambarkan rasa hormat kami yang mendalam kami terhadap Malaysia, simbol kebangsaannya atau kebanggaan serta kehormatan mewakili negara di persada antarabangsa. Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti.

“Oleh itu, kami amat kesal dengan sebarang rasa tidak hormat yang tidak disengajakan disebabkan oleh kesilapan ini. Sekali lagi, kami memohon maaf yang setulus hati dan menghargai pertimbangan anda,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Zii Jia dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen memakai jersi dengan logo Jalur Gemilang di bahagian kiri dipasang secara terbalik.

Walaupun Zii Jia berjaya mencatat kemenangan bergaya 21-13, 21-15 ke atas Tien Chen dalam aksi Kumpulan A itu, namun orang ramai lebih memberi perhatian kepada jersi pemain terbabit hingga menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.

Sekadar info, Lee Zii Jia yang merupakan pemain ranking kelapan dunia itu adalah atlet profesional di mana jersinya tidak dibekalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya oleh penajanya iaitu Victor.

Baca juga: Netizen Singapura dakwa bahasa Inggeris dan makanan mereka jauh lebih baik berbanding Malaysia