Video Khairul Aming raih perhatian PM New Zealand, adakan pertemuan sebagai tanda penghargaan

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, video masakan travelog di New Zealand yang dikongsi oleh personaliti media sosial terkenal iaitu Khairul Aming telah berjaya menarik perhatian pemimpin nombor satu negara itu.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang kini berada di Malaysia sempena rangka lawatan rasmi juga secara peribadi mahu berjumpa dengan Khairul Aming untuk menyampaikan penghargaan atas penerbitan video tersebut.

Akhirnya pertemuan tersebut berjalan dengan lancar di sebuah restoran di ibu kota, pagi tadi di mana rakamannya turut dikongsi oleh Khairul Aming menerusi hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Menerusi video berkenaan, pempengaruh dan usahawan terkenal itu kelihatan turut menyediakan sarapan pagi tempatan untuk Christopher Luxon sempena lawatan pemimpin terbabit ke negara ini.

Sepanjang sesi berlangsung, usahawan berusia 32 tahun itu turut bertukar pendapat dengan Luxon terutamanya mengenai masakan dan perlancongan antara kedua-dua negara.

@khairulaming

Hari ni Khairulaming dan Perdana Menteri New Zealand berjumpa sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video masak yang kita buat dekat sana 🥹

♬ original sound – Khairulaming – Khairulaming

“Hari ini, kita sediakan menu sarapan tradisional Malaysia iaitu roti jala dan teh tarik. Selepas itu, sediakan cendol. Saya tahu cendol bukan makanan untuk sarapan, tetapi sengaja nak berikan pencuci mulut.

“Pada masa sama, saya juga perkenalkan kuih tradisional Malaysia termasuk produk Dendeng Nyet dan Sambal Nyet Berapi. Kemudian, beliau diiringi masuk ke restoran untuk makan nasi lemak.

“Sepanjang sesi itu, kita ada berbincang mengenai pertukaran pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, perdagangan eksport daging dan tenusu halal serta potensi eksport produk tempatan ke New Zealand,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Khairul Aming sempat mengenang awal pembabitannya dalam bidang penciptaan kandungan sehingga berjaya duduk bersebelahan dengan orang penting dari luar negara.

“Alhamdulillah, pertemuan berjalan dengan lancar dan video masakan yang dibuat di New Zealand diterima baik kerajaan New Zealand. Lapan tahun lalu, saya merakam video memasak pertama sambil duduk di atas lantai.

“Hari ini, saya mendapat keistimewaan untuk duduk di sebelah Perdana Menteri dari sebuah negara yang terkenal. Teruskan berkerja keras, anda akan kagum di mana kehidupan boleh membawa anda.” Ujarnya.

Baca juga: Hadiahkan emas pertama untuk Malaysia! Cheah Liek Hou berjaya kekalkan kejuaraan