Satu rakaman memaparkan seorang wanita yang berpakaian pengantin telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, pengantin baharu yang sepatutnya berada di atas pelaminan itu malah mengunjungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) di hari perkahwinannya.
Hati bahagia bertukar tragedi, kedatangan pengantin itu ke hospital adalah untuk melihat ibunya yang sedang kritikal selepas diserang angin ahmar (strok).
Sangat menyayat hati, perkhabaran duka tersebut difahamkan telah disampaikan oleh ahli keluarga selepas 30 minit pengantin berkenaan disahkan bergelar isteri.
Tular di media sosial, kejadian itu sempat dirakam sebelum dikongsikan oleh rakan pengantin menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok milik @mawiekhaili.
Menurut Mawie, ibu kepada pengantin perempuan itu malangnya menghembuskan nafas terakhirnya pada saat rakannya menjejakkan kaki ke hospital tersebut.
Berkongsi rasa kagum, Mawie berbangga rakannya itu mampu menguruskan jenazah ibunya walaupun berada di dalam keadaan yang sedih dan tidak stabil.
“Hari yang paling menggembirakan menjadi hari yang paling mendukakan. Ini kisah kawan baik aku bernama Ika yang baru sahaja berkahwin pada 26 Ogos 2023.
“Lebih kurang setegah jam sahaja selepas selesai bernikah, dia mendapat satu perkhabaran yang sangat mendukakan. Dia terpaksa bergegas ke HKL untuk melihat ibunya yang sedang kritikal.
“Sampai sahaja dia di hospital, ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir. Aku bangga dia kuat berdiri untuk uruskan jenazah dengan sebaik mungkin,” katanya.
Kongsi Mawie, Ika sempat kembali semula ke dewan pernikahan untuk menghormati tetamu yang hadir sebelum beredar ke surau untuk menguruskan jenazah ibunya.
Tidak meneruskan majlis persandingan, ibu Ika selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang pada petang hari selepas Asar.
Video kongsian Mawie itu juga memperlihatkan bapa pengantin perempuan yang terpaksa diusung menaiki kerusi roda untuk memberi penghormatan terakhir kepada isterinya.
“Kalau kita rasa sedih atau susah, ingatlah ramai yang berada di dalam keadaan yang menyedihkan dan susah daripada kita.” Pesan Mawie.
Baca juga: Lantang bahas isu poligami, isteri Caprice dikirim bungkusan hitam misteri – Pengecut!