Vivy Yusof dan suami didakwa pecah amanah, babitkan dana pelaburan awam RM8 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengasas platform e-dagang, FashionValet iaitu Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka itu dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Public Bank Berhad cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2018, lapor Astro Awani.

Pasangan terbabit dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabitkan kesalahan.

Difahamkan, pendakwaan ke atas pasangan berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh itu diwakili peguam, Ashok Athimulan.

Mahkamah menawarkan jaminan RM100,000 kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu pasangan suami isteri itu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM di Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga melarang mereka berdua menganggu atau mempengaruhi mana-mana saksi pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Januari, tahun depan.

Baca juga: Lepasan SPM bergaji RM1.1k teringin nak pakai X70 undang bualan netizen