Wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah dari sudut syariah

Oleh ARIF ATAN

Langkah mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 mengikut pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah.

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, keputusan kerajaan itu perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini.

Menurutnya, apabila kerajaan mewajibkan penjawat awam divaksinasi, berdasarkan Siasah Syar’iyah, maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

“Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan Covid-19.

“Tindakan tatatertib dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” lapor BH.