Wakil rakyat enggan isytihar harta tidak layak dicalon pada PRU14

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengisytiharan Harta dan Akujanji Khidmat Rakyat antara Invoke Solution Sdn Bhd (Invoke) dengan 30 wakil rakyat dan calon prospektif bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang adalah sebahagian daripada usaha pengumpulan dana RM5juta bagi membolehkan Invoke terus beroperasi sehingga menjelangnya PRU.

Dengan termeterainya 14 akujanji itu, Invoke membantu kempen pilihan raya kepada 30 wakil rakyat dan akujanji itu juga mengikat wakil rakyat untuk setia berkhidmat kepada rakyat dan parti, termasuklah bersedia untuk membayar RM20juta kepada sebuah tabung amanah rakyat sekiranya wakil rakyat  secara individu atau berkumpulan melompat parti setelah menang pilihan raya.

Antara wakil rakyat yang terbabit dalam pengisytiharan harta dan Akujanji Khidmat Rakyat ini dikalangan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri  antaranya dari PKR, AMANAH dan  Pas.

Manakala DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih lagi tidak menyatakan pendirian terhadap penyertaan wakil rakyat
mereka untuk menyertai muafakat pengisytiharan harta dan akujanji anjuran Invoke ini.

Pengasas Invoke yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dalam kenyataannya menegaskan pihaknya tidak akan meminta calon parti Bersatu dan DAP pada pilihan raya umum kali ini untuk membuat pengisytiharan harta.

Kata Rafizi keputusan itu dibuat memandangkan kerusi yang disandang DAP dan Bersatu bukanlah kerusi marginal (genting) dan tidak wujud keperluan untuk Invoke mengarahkan calon kedua parti itu untuk melakukan pengisytiharan harta.

Ini bermakna daripada 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun (kecuali Sarawak) yang dipertandingkan dalam PRU, hanya 30 orang sahaja ‘berani’ untuk mengisytiharkan harta sebagaimana diumumkan dalam majlis rasmi diadakan Invoke  di Subang Jaya pada 19 November lalu.

Malaysia Dateline menemubual tiga wakil rakyat yang telah lakukan pengisytiharan harta dan menandatangani akujanji dengan Invoke untuk mendapatkan pandangan kesediaan mereka mengisytiharkan harta dan sedia untuk terikat dengan ‘denda’ RM20juta jika melompat parti semata-mata bertujuan untuk memberi kemenangan kepada Umno-BN selepas menang pilihan raya.

Ini kerana daripada 30 wakil rakyat dan calon prospektif  yang menyatakan persetujuan untuk menyertai usaha dilakukan Invoke itu seramai 20 daripadanya adalah calon PKR, sembilan daripada Amanah dan Datuk Mahfuz Omar adalah pemimpin tunggal dari Pas.

Datuk Mahfuz Omar

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tiga penggal berkata, beliau telah mengisytiharkan hartanya dianggarkan sebanyak RM322,000 kepada Invoke.

Beliau menyambut baik usaha dilakukan Invoke sewajarnya ia disertai semua wakil rakyat Pakatan Harapan.

“Ini sangat penting semua pemegang jawatan perlu memperlihatkan sejauh mana mereka berkhidmat sebagai wakil rakyat harta yang mereka kumpul dan harta yang mereka belanjakan untuk kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya buat pengisytiharan ini bukan berniat nak jadi calon dalam PRU14 akan datang kerana saya pun tidak tahu, adakah saya akan dipilih sebagai calon oleh pimpinan parti.

“Hanya melalui pengistiharan harta peluang saya memberitahu masyarakat sepanjang berkhidmat apa harta yang saya miliki hari ini,” ujarnya.

Bagi beliau mana-mana wakil rakyat yang tidak mahu mengisytiharkan harta akan menimbulkan persoalan kepada rakyat mengenai ketelusan calon wakil rakyat mereka kelak.

“Perkara ini harus disedari oleh semua calon wakil rakyat Pakatan Harapan untuk buat pengisytiharan harta mereka.

“Saya tidak nampak pun kawan-kawan saya mengumpulkan harta sebaliknya mereka perlu berani menunjukkan kesungguhan. Ini satu proses baharu dalam politik Malaysia untuk menterjemahkan ketelusan dan kejujuran melalui deklarasi aset.

“Rakyat mahu melihat bahawa pemimpin yang ada aset atau kaya mestilah bersumberkan daripada pendapatan yang halal dengan cara yang betul bukan gunakan kedudukan sebagai wakil rakyat,” ujarnya yang tidak pasti sama ada pendirian wakil rakyat Pas di Parlimen dan Dun akan berbuat perkara sama dilakukan wakil rakyat Pakatan Harapan.

Kemungkinan lebih 30 penyertaan 

Fuziah Salleh

Bagi Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh pula mengisytiharkan hartanya dianggarkan sebanyak RM615,100 sehingga September 2017 lalu.

Ditanya mengenai penyertaan hanya membabitkan 20 wakil rakyat dan calon prospektif daripada PKR beliau berpandangan, usaha dilakukan Invoke adalah baik dan harus disokong semua wakil rakyat parti gabungan dalam Pakatan Harapan walaupun ianya bukan atas arahan diperingkat atasan PKR atau Pakatan Harapan ia hanya dilaksanakan oleh sebuah NGO seperti Invoke.

“Usaha dilakukan Invoke harus disokong oleh semua wakil rakyat itu prinsip yang kita pegang bahawa mana-mana wakil rakyat harus telus untuk menunjukkan kepada rakyat mereka tidak kumpul harta ketika memegang jawatan.

“Saya berharap ada penyertaan lain selepas 30 orang yang pertama ini. Walaupun pengisytiharan harta ini bukan arahan pimpinan atas PKR sebagai individu saya terpanggil untuk menyertai pengisytiharan harta dan akujanji ini.

“Jika saya mahu kawan-kawan buat, saya perlu buat dulu. Mereka akhirnya harus tunjukkan mereka tidak kumpul kekayaan luar biasa untuk turut sama mengisytiharkan harta,” ujarnya.

Setelah dua penggal menjadi ahli parlimen beliau tidak menafikan perbelanjaannya melebihi daripada gaji sebagai wakil rakyat.

“Selain memperoleh pendapatan sebagai ahli parlimen saya minta duit suami untuk menanggung kos pengurusan pejabat wakil rakyat dan kebajikan rakyat.

“Dulu sebelum jadi wakil rakyat saya ada syarikat konsultan bila memegang jawatan saya tutup syarikat,” ujarnya.

Beliau berpandangan sekiranya masih ramai lagi wakil rakyat di Parlimen dan Dun enggan mengisytiharkan harta mereka, kerana kebimbangan mengenai hutang yang ditanggung, beliau tidak fikir itu menunjukkan wakil rakyat berkenaan mempunyai rekod yang buruk.

“Secara umum mungkin tidak ramai rakyat yang memahami butiran deklarasi harta itu dibuat, sedangkan sebenarnya tiada apa yang nak disorokkan, kalau ada banyak harta dan hutang sekalipun apa salah isytiharkan.

“Kita bercakap tentang ketelusan apa yang dibuat Invoke bertujuan untuk mengumpulkan ahli politik isytiharkan harta mereka.

“Sebelum ini kita tidak ada arahan berbuat demikian hanya selalu bercakap soal ketelusan dan integriti tetapi tiada pelaksanaan.

“Pastinya ide yang dilakukan Rafizi ini sudah ada satu kajian tahap tinggi untuk dilaksanakannya walaupun kami terpaksa buat akujanji untuk bayar RM20juta jika melompat parti.

“Tetapi saya yakin tidak sekali-kali berbuat demikian dan saya tidak pernah terfikir (lompat parti) walaupun saya pernah ditawarkan pada 1999 dan 2004 lalu,” ujarnya.

Tidak isytihar harta tidak layak jadi calon PRU14

Dikalangan 30 wakil rakyat dan calon prospektif yang menandatangani Akujanji Khidmat Rakyat jika melanggar atau khianat terhadap akujanji dilihat terlalu besar sejumlah RM20juta perlu dilunaskan.

Malah Rafizi turut berkeyakinan mereka yang menyertai pengisytiharan harta dan akujanji tersebut bukan dikalangan pemakan rasuah kerana berani mendedahkan harta dimiliki mereka dan bersedia untuk membayar RM20juta jika melanggar akujanji.

Datuk Johari Abdul

Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul pula berpandangan seorang wakil rakyat dipilih atas dasar perjuangan parti bukan individu.

Adalah tidak wajar seorang wakil rakyat yang dipilih atas dasar parti itu bertindak keluar meninggal parti dan lari daripada perjuangan asal parti.

“Saya menang kerana dasar parti dan apa yang telah diperjuangkan oleh parti.

“Oleh kerana kita menang atas dasar parti secara tiba-tiba kita pula nak lompat parti yang boleh memenangkan parti lawan seperti Umno dan BN.

“Dengan syarat ketat itu (RM20juta) jika ada wakil rakyat nak melompat parti boleh tapi kenalah bayar ke Invoke untuk disalurkan semula kepada rakyat.

“Ini menunjukkan Invoke meletakkan laras yang tinggi kepada wakil rakyat daripada Pakatan Harapan yang akan dipilih oleh rakyat pada PRU14 akan datang.

“Saya serah diri (isytihar harta) kerana yakin itu yang terbaik buat saya,” ujarnya.

Ditanya mengenai beberapa calon prospektif (bukan wakil rakyat)  dari PKR yang turut mengisytiharkan harta dan menandatangani akujanji tersebut,  ia suatu tindakan wajar sebagai ahli parti katanya.

“Mungkin mereka merasakan bahawa ada indikasi dirinya untuk dinilai sebagai bakal calon kerana bekerja keras untuk parti selama ini.

“Kemungkinan besar mengharapkan parti melihat keupayaannya sebagai calon pilihan raya. Jika penilaian diberikan kepada individu tersebut tentu bagi bakal calon yang telah membuat pengisytiharan harta akan lebih tinggi nilainya untuk menjadi calon pilihan raya,” terangnya.

Justeru kata Ketua WHIP PKR ini lag, sekiranya ada wakil rakyat yang masih teragak-agak untuk mengisytiharkan harta mereka tidak
wajar dicalonkan  dalam pilihan raya akan datang.

“Kita sebut ‘pemimpin’ yang ingin memimpin sebuah negara untuk masa depan haruslah telus. Jika ada yang masih memikirkan agenda lain tidak patut jadi pemimpin.

“Dengan pengisytiharan harta ini memberi peluang rakyat memantau pemimpin agar mana-mana wakil rakyat yang terpilih selepas PRU14 ini tidak lagi memiliki harta yang di luar pendapatan mereka, kaya yang tidak sepatutnya.

“Saya minta semua kawan-kawan di Parlimen dan Dun isytiharkan harta mereka,” ujar wakil rakyat dua penggal ini yang  mengisytiharkan hartanya kepada Invoke anggaran sejumlah RM1.2juta.