Walau dilanda kontroversi, filem Pulau raih kutipan lebih RM2 juta dalam masa 7 hari

Oleh KIM SYAZIE

Filem kontroversi Pulau yang sebelum ini dilanda kontroversi kerana memaparkan aksi-aksi panas dalam trailer mereka, namun sambutan menggalakkan nampaknya menutup segala kritikan yang pernah dilemparkan.

Sehingga kini dilaporkan, filem Pulau bergenre ‘supernatural thriller’ dan mistik itu berjaya mencatat kutipan ‘box office’ sebanyak RM2 juta dalam masa satu minggu ditayangkan

Memetik Harian Metro, penerbit filem tersebut, Fred Chong gembira setelah melihat permulaan yang baik dan positif untuk karya tersebut meskipun sebelum ini terpalit dengan kontroversi.

“Ia adalah satu permulaan yang baik buat kami. Terima kasih kepada semua penonton yang sudah menonton filem Pulau di pawagam.

“Kami amat mengharapkan agar filem ini menepati cita rasa penonton di luar sana. Saya mengharapkan sambutan diberi akan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Fred berkata pihaknya berbangga apabila filem tersebut berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara dan sudah pun ditayangkan di di Singapura, seterusnya di Indonesia pada 22 Mac ini.

“Baru-baru ini juga, berlangsung sesi jelajah di Singapura dan Indonesia yang dihadiri barisan pelakon Pulau seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Ms Puiyi dan Joey Leong.

“Sungguh tidak disangka, sesi jelajah kami di dua buah negara ini mendapat sambutan yang hangat apabila barisan pelakon filem Pulau diserbu peminat yang sudah menunggu-nunggu kemunculan mereka,” katanya.

Baca juga: ‘Lagi selesa di Kelantan walaupun gaji rendah’ – Pemuda persoal jika benar mengapa ramai berhijrah