Walaupun ibu kota Malaysia dikenali dengan kos sara hidup tinggi dan harga makanan yang mahal, namun Kuala Lumpur berjaya dipilih sebagai bandar raya ketujuh terbaik dunia untuk makanan.
Antara makanan yang dinamakan sebagai hidangan wajib cuba teratas adalah nasi lemak, diikuti dengan sup tomyam Thai dan roti canai.
Ranking itu dikeluarkan oleh majalah gaya hidup yang berpangkalan di London kelmarin.
Penulisnya di Kuala Lumpur, Ng Su Ann turut menyifatkan ibu kota Malaysia sebagai sibuk dan terkenal dengan landskap masakannya yang pelbagai, dibentuk oleh pengaruh Melayu, Cina dan India selama berabad.
“Luangkan masa ke kedai kopitiam, mamak dan penjaja serta pasar malam untuk merasai hidangan jalanan kami yang terkenal di dunia seperti laksa, roti canai dan nasi lemak.
“Daripada kafe ke omakases, kelab malam ke bar dengan pemandangan latar langit, juadah makanan di bandar ini mempunyai lebih banyak tawaran berbanding sebelum ini,” katanya.
Su Ann turut berkongsi kedai makan yang dia anggap berbaloi untuk membuat tempahan iaitu Pickle Dining dan Kai, sebuah restoran yang menampilkan perisa dari seluruh Kepulauan Melayu.
TimeOut juga meletakkan Naples, Itali yang terkenal dengan piza margherita sebagai bandar makanan terbaik di dunia, diikuti oleh Johannesburg, yang menawarkan hidangan tradisional Afrika Selatan dan Lima, Peru mendapat tempat ketiga.
Lima bandar Asia lain dalam senarai itu ialah Ho Chi Minh City, Vietnam; Beijing, China; Bangkok, Thailand; Mumbai, India dan Dubai di Emiriah Arab Bersatu.
Baca juga: “Aku ‘lock’ tangan suami ke belakang, ugut supaya dia berdiam kalau tak nak sakit”