AMANAH Sarawak berazam untuk mencipta sejarah meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kali ini.
Menurut Pengerusinya, Abang Abdul Halil Abang Naili, dengan meletakkan calon-calon yang berwibawa di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), adalah tidak mustahil AMANAH Sarawak berupaya melakar kemenangan bersejarah nanti.
“In shaa Allah.. bersama-sama kita berdoa semoga pada PRN12 ini AMANAH Sarawak menang di mana-mana kerusi DUN yang ditandingi.
“Malah, saya juga yakin dengan lapan calon yang ditampilkan pada kali ini kerana rata-ratanya anak muda yang sangat komited dan berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin masa depan, ” jelasnya.
Beliau yang juga calon AMANAH Sarawak yang bertanding di kerusi DUN Samariang memberitahu, sentimen pengundi yang mahu perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri kali ini harus diambil serius dalam meraih sebarang undi daripada mereka.
Ini kerana katanya, kerajaan negeri yang sebelum ini bersama Barisan Nasional (BN) selama 58 tahun dilihat tidak berupaya membawa perubahan yang selayaknya harus di miliki rakyat di negeri ini.
“Bayangkan dalam tempoh 58 tahun berkuasa, masalah infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jalan raya masih lagi membelenggu penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Justeru, besarlah harapan saya semoga PRN12 kali ini, seluruh rakyat Sarawak bangkit untuk memilih sebuah kerajaan yang benar-benar prihatin dengan hak rakyat,” tambah Abang Halil.
Pada PRN12 kali ini, AMANAH Sarawak akan bertanding di kerusi DUN Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Semop dan Jemoreng.