Walaupun digilai ramai wanita, Nicholas Saputra tetap rasa diri tak menarik

Oleh WAN SITI AMINAH

Mula meraih populariti selepas muncul di dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC), Nicholas Saputra kekal menjadi pujaan ramai wanita sehingga kini.

Pejam celik, pejam celik sudah 21 tahun berlalu sejak pelakon tampan asal Indonesia itu pertama kali muncul di layar perak memainkan watak utama dalam di filem AADC.

Berjaya kekal sebagai selebriti ‘papan atas’ walaupun sudah lebih dua dekad berlalu, pemuda kacukan Jawa-Indonesia itu dikatakan memiliki daya tarikan yang tersendiri.

Malah, ramai wanita Indonesia dan termasuk juga Malaysia menyimpan impian untuk mendampingi hidup lelaki berusia 39 tahun yang belum mendirikan rumah tangga itu.

Situasi ini dipercayai menjadi punca mengapa segala kisah peribadi dan aktiviti yang dilakukan oleh Nicholas Saputra selalu menjadi perhatian khususnya dari peminat.

Namun percaya atau tidak, penggalas watak Rangga itu justeru memiliki pandangan yang berbeza daripada orang ramai mengenai nilai daya tarik dalam kehidupannya.

Menyifatkan kehidupan dijalaninya selama ini sangat biasa, Nicholas sendiri tidak tahu perkara apa yang menarik mengenai dirinya sehingga menjadi tumpuan ramai.

Hal ini menyebabkan Duta Nasional UNICEF Indonesia itu enggan ditemu bual dalam acara audio siar atau ‘podcast’ yang kini menjadi program terkenal di negaranya.

“Tak menarik. Saya tak merasakan kehidupanku menarik untuk diceritakan. Kalau kita tengok yang muncul di podcast itu orang menarik. Saya tak menarik seperti itu.

“Saya berpendapat orang yang hadir di dalam podcast itu ada cerita tersendiri. Kalau saya pula tiada perkara nak ditanya. Nak jawab apa pun saya tak tahu,” katanya.

Menepis dakwaan bahawa dirinya enggan ditemu bual kerana mahu menjaga nilai ‘eksklusif’, Nicholas sebenarnya berpendirian untuk menjaga kehidupan peribadinya.

Hal ini kerana, privasi adalah satu-satunya perkara yang dapat dikawal sendiri oleh Nicholas yang sering merangkul anugerah Pelakon Lelaki Indonesia Paling Popular itu.

“Satu-satunya perkara yang saya miliki dan boleh dipertahankan adalah privasi. Terlalu banyak hal yang tidak boleh dikawal dalam dunia ini, tetapi privasi boleh.” Ulasnya.

Tular di media sosial, pendedahan yang dibuat oleh Nicholas Saputra itu dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok milik @melaney_ricardo.

Baca juga: Seperti tiada jodoh dengan Syafiq Kyle, Mimi Lana kongsi luahan sakitnya putus cinta