Akibat lewat hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan ditegur hakim, hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob meminta penjelasan daripada bekas ketua penerangan Bersatu itu sejurus beliau tiba dengan sekumpulan penyokongnya.
“Mengapa anda lewat?” soal Rozina terhadap tertuduh yang berdiri dalam kandang saksi.
Wan Saiful berkata, beliau meninggalkan rumah pada 7.15 pagi dan menjangkakan tiba di mahkamah dalam tempoh 45 minit lapor Free Malaysia Today (FMT).
“Perjalanan ke sini mengambil masa hampir dua jam hari ini. Saya tidak jangka trafik menjadi teruk hari ini,” ujarnya sambil memohon maaf.
Rozina berkata, Wan Saiful sepatutnya merancang perjalanan dan berharap ia menjadi “pertama dan terakhir” (tiba lewat di mahkamah).
Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi atas dakwaan menerima rasuah RM6.9 juta berkait inisiatif Jana Wibawa.
Beliau juga dituduh meminta jumlah tidak dinyatakan bagi projek jalan bernilai RM232 juta yang dikaitkan dengan program tersebut.
Rozina turut memaklumkan, beliau menetapkan jadual bicara bermula tiga bulan selepas tertuduh didakwa, dengan prosiding dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan.
“Itu adalah garis masa kita,” katanya dan kes dijadual pada 8 Mei untuk sebutan semula.