Umum mengetahui bahawa sarang telur merupakan salah satu bahan popular dalam kalangan masyarakat yang gemar melakukan aktiviti mengitar semula.
Selain sering dijadikan tempat semaian benih tanaman, sarang telur rupanya memiliki fungsi lain dalam membantu melindungi persekitaran rumah dari pencemaran bau.
Tular di media sosial, petua yang cukup berkesan ini dikongsikan oleh seorang wanita dikenali sebagai Adila Farhana menerusi hantaran dimuat naik di akaun X miliknya.
Menurut Adila, petua ini boleh mengelakkan tong sampah menjadi berair dan berbau seterusnya menyebabkan kediaman dicemari dengan aroma tidak menyenangkan.
Hal ini berikutan sarang telur dikatakan sangat berfungsi untuk menyerap air dan juga bau tidak menyenangkan yang datang dari bahan buangan serta sisa-sisa makanan dalam tong sampah.
Berikut langkah-langkah yang perlu pembaca ikuti sekiranya mahu mengitar semula sarang telur untuk mengelakkan bau kurang menyenangkan mencemari kediaman.
1. Ambil sarang telur yang sudah terpakai dan letakkan pada bahagian bawah tong sampah. Kemudian tekap sarang telur tersebut mengikut tapak tong sampah anda.
2. Potong mengikut bentuk yang telah ditekapkan supaya ia muat untuk dimasukkan sehingga ke hujung tapak tong sampah.
3. Kemudian, masukkan plastik ke dalam tong sampah sebelum melapikkannya dengan sarung telur yang sudah dipotong tadi. Lalu, bahan buangan sudah boleh mula dimasukkan.
Kaedah menggunakan sarang telur ini dijangka mampu mengurangkan risiko plastik sampah menjadi bocor lalu mengeluarkan cecair busuk yang mencemari persekitaran kediaman anda.
Difahamkan, petua ini dikongsikan semula oleh Adila Farhana berdasarkan hantaran asal daripada pemilik yang dikenali sebagai Nur Husna Saikun di platform lain.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya bagi mereka yang mahu menghilangkan bau busuk di kediaman masing-masing.
Baca juga: “Makin banyak ‘scammer’ agama” – Netizen pelik ramai tertipu dengan ujian ketulenan air zamzam