Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) 2022 yang berlangsung hari ini berjaya menghimpunkan pimpinan, perwakilan, pemerhati dan aktivis Wanita AMANAH seluruh negara bagi menggarap gerak kerja ke arah persiapan akhir memobilisasi kekuatan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pidato Ketua AWAN, Aiman Athirah dalam ucapannya menegaskan bahawa wanita AMANAH sentiasa bersiap sedia menjadi tulang belakang Pakatan Harapan.
Sayap wanita AMANAH itu juga menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menerajui kerajaan untuk penggal akan datang dengan terus bekerjasama sebagai rakan setara dengan akrab dan saling hormat.
“Wanita AMANAH akan terus komited menyusun dan memperkasakan organisasi, fungsi dan program bersama di semua peringkat di seluruh negara dengan semangat dan kerjasama ikhlas yang erat,” katanya.
Dalam pada itu, AWAN menggariskan 10 Tuju Tumpu Agenda Wanita AMANAH Untuk Malaysia bagi mengangkat martabat wanita sebagai sebahagian daripada komponen utama masyarakat.
Bagi Tuju Tumpu Pertama, Aiman Athirah menekankan agenda pendemokrasian politik dan kepimpinan wanita konsisten.
Agenda pertama ini memastikan agar kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Strategik Dasar Afirmatif 30 peratus iaitu untuk memastikan penyertaaan wanita dalam posisi pembuat dasar.
Manakala menerusi Tuju Tumpu Kedua pula, beliau mengetengahkan Dasar Keterangkuman Gender di mana Wanita AMANAH menggesa kerajaan menyemak undang-undang yang menyekat kesaksamaan dan keadilan gender.
Ini termasuklah gesaan utama untuk meminda Perkara 14(1)(b) dan Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan
Persekutuan bagi menyelesaikan polemik isu kerakyatan automatik anak bagi ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara.
Selain itu, Konvensyen AWAN Nasional 2022 tegas mengangkat 8 Tuntutan #REFRESH Malaysia sebagai sebahagian komitmen utama Wanita AMANAH untuk Malaysia bagi memberi kesegaran dan iltizam politik membina semula negara yang bebas rasuah, bebas propaganda kaum dan agama, bebas diskriminasi serta peralihan era baharu politik Malaysia.
Way forward to reimagining Malaysia ini dirangkumkan di dalam 8R – Reclaim, Reset, Review, Renew, Reform, Revive, Regenerate dan Reaffirm Malaysia dengan menumpukan kepada gerakan perubahan minda rakyat.
“Dalam merealisasikan misi besar Wanita AMANAH menjayakan politik khidmat, politik nilai & idea dan politik mendidik, Wanita AMANAH di seluruh negara dituntut segera dan setuntasnya memposisi diri dalam masyarakat sebagai Duta Rahmah.
“Selain itu bertindak sebagai jurucakap rakyat yang menderita di bawah, sentiasa menyantuni bersama merasai denyut nadi derita rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, pandemik Covid-19 dan inflasi, lalu kemudian sama-sama mengangkat suara mereka menjadi sebahagian utama perjuangan AMANAH,” katanya lagi.
Baca juga: Khalid bidas Hadi: Terima jawatan sebagai habuan untuk sokong PN pun sama seperti ambil rasuah
Baca juga: Tiga hari cuti bermula esok tapi tak berduit pula, ini perkara boleh anda lakukan