Wanita buat bariatrik demi dapatkan anak, disahkan hamil lepas suami kantoi curang

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak hancur apabila segala pengorbanan dilakukan demi mendapatkan zuriat rupanya langsung tidak dihargai suami.

Suami kepada wanita dikenali sebagai Syidah itu malah memilih mengkhianati ikatan suci perkahwinan dibina selama ini dengan berlaku curang bersama perempuan lain.

Menerusi satu perkongsian di laman TikTok, Syidah memberitahu segalanya bermula selepas wanita berkenaan meluahkan hasrat untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Pembedahan yang membantu menurunkan berat badan itu dilakukan Syidah sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan zuriat agar dapat menggembirakan suaminya.

“Aku nekad buat pembedahan bariatrik sebab memang nak sangat anak. Aku juga memiliki masalah kesihatan yang lain. Setahun juga aku cuba untuk memujuk suami.

“Dia selalu cakap, kalau kurus nak cari perempuan gemuk yang lain. Ingatkan suami hanya mahu bergurau,” katanya yang ketika itu memiliki berat lebih 150 kilogram (kg).

Sebelum melakukan pembedahan, Syidah juga mengalami penyakit gangguan tidur dikenali sebagai Obstructive Sleep Apnea (OSA) dan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

PCOS pula berkait rapat dengan masalah kesuburan di mana kilang telur atau ovari bengkak kerana benih terperangkap ataupun tidak boleh menetas pada waktu subur.

“Alhamdulillah, pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) berjalan dengan lancar. Ketika ini, suami memang jaga aku dengan baik sangat. Alhamdulillah untuk itu.

“Demi suami dan kesihatan, aku nekad jalani pembedahan walaupun penakut jarum. Segalanya aku nekad sebab nak berikan zuriat kepada suami. Itulah niat utama aku.

“Tak sangka pula kena ‘sondol’ dengan betina lain. Dia hantar pesanan secara terus (DM) di Facebook. Berani sangat penyondol pun,” kongsinya dalam hantaran sama.

Syidah kemudian meminta suami membuat pilihan sama ada meneruskan hubungan dengan kekasihnya atau meninggalkan wanita itu demi menyelamatkan perkahwinan.

Mengakui masih menyayangi kekasihnya, suami Syidah bagaimanapun turut enggan melepaskannya hingga kes perceraian mereka terpaksa dibawa ke muka pengadilan.

Tetapi apa yang lebih memilukan, Syidah mendapati dirinya sedang mengandungkan anak pertama ketika dalam proses perceraian namun kandungan itu tidak menjadi.

“Perempuan mesej saya cakap nak menikah dengan suami tahun ini. Semua benda saya boleh bincang kecuali curang. Berani dia mesej saya. Sudah tahu suami orang.

“Tetapi tetap nak jadi isteri kedua. Tak payah, ambil sahajalah. Mereka selalu keluar sampai malam. Bekas suami menipu, katanya buat kerja sambilan di waktu malam.

“Apabila tahu mengandung, luluh jantung. Saya dalam proses bercerai dengan bapanya. Tetapi Alhamdulillah, Allah maha baik. Kandungan itu tak menjadi.” Ulasnya.

Berdasarkan hantaran lain di akaun TikToknya, Syidah difahamkan telah sah bercerai dengan suami di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, beberapa bulan yang lalu.

Baca juga: Raih hampir 500K tontonan, ramai terkejut masih ada peniaga jual burger RM2