Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan seorang suami meloncat kegembiraan selepas menerima kejutan sempena hari jadi di sebuah taman tema terletak di Rawang, Selangor.
Mana tidaknya, suami berkenaan menerima satu kejutan istimewa daripada isterinya itu yang memberikan ucapan sempena hari ulang tahunnya dengan menggunakan roda Ferris besar di taman tema tersebut.
Berdasarkan rakaman berdurasi 54 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu, sang isteri dilihat sedang merakam video bersama suami dan anak mereka membelakangkan roda Ferris berkenaan.
Wanita itu bagaimanapun sempat curi-curi pandang ke arah belakang untuk beberapa kali memastikan ucapan kejutan yang dirancangnya dipaparkan di skrin sambil bergambar dengan keluarganya.
Suaminya langsung tidak menyedari apa yang berlaku kerana sedang sibuk menguruskan anak sehinggalah wanita itu memintanya mengambil gambar sambil menghadap ke arah roda Ferris.
Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila namanya terpapar di dalam skrin roda Ferris berkenaan sebelum meloncat kegembiraan selepas menyedari kejutan tersebut datang daripada isterinya.
“Selamat Hari Jadi, Azri Afifi. Semoga hari awak dipenuhi dengan gelak tawa dan kasih sayang,” ucapnya di skrin memaklumkan bahawa kejutan tersebut dapat disaksikan oleh seluruh pengunjung taman tema.
Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian tersebut sudah berjaya meraih tontonan daripada 349,800 pengguna TikTok manakala 39,600 pelayar meninggalkan tanda suka.
Rata-rata pengguna TikTok tampil meluahkan rasa kagum terhadap usaha isteri terbabit mencipta kejutan sempena hari jadi suaminya meskipun mereka tahu belanja yang dikeluarkan sudah tentunya banyak.
Ramai juga individu turut merasa terharu apabila melihat reaksi suami kepada wanita berkenaan yang meloncat kegembiraan seperti cukup menghargai kejutan diberikan oleh isterinya itu.
“Ini bukan tunjuk dekat satu taman tema sahaja. Sampai dekat lebuhraya pun nampak tahu tak. Hari-hari saya beria baca ucapan orang apabila lalu dekat lebuhraya itu,” kata seorang pengguna jalan raya berdekatan.
“Aku doakan untuk para suami yang sanggup melayan karenah isteri dengan merakamkan ‘content’ macam ini dilancarkan rezeki tanpa henti. Seronok tengok pasangan macam ini. Semoga kekal hingga akhir hayat.” Ujar pengguna lain.
Difahamkan, mereka yang berminat untuk membuat kejutan serupa perlu menyediakan wang sekitar RM300 sehingga RM500 di mana mereka boleh memilih tempoh paparan dari 30 hingga 60 minit.
Baca juga: Terjerat nak terlihat kaya, lelaki menangis nak pinjam RM8k bayar hutang Alphard