Baru-baru ini tular perkongsian daripada seorang wanita mengenai kecurigaannya terhadap sikap dan pergaulan bakal suami dengan anak saudara perempuannya yang dikatakan terlalu ‘rapat’.
Wanita berusia 28 tahun terbabit mengakui merasa curiga apabila bakal suaminya membuat satu permintaan untuk membawa anak saudaranya tinggal bersama di rumah mereka selepas berkahwin kelak.
Bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan di dalam tempoh empat bulan itu bagaimanapun kurang senang dengan permintaan tersebut memandangkan pemuda terbabit terlalu rapat dengan anak saudaranya.
“Patutkah aku bersangka baik atau beritahu sahaja dekat dia? Bakal suami nak ajak anak buah perempuan berusia 26 tahun tinggal sekali. Atas alasan keluarga abang (bapa anak buah) pindah ke kampung. Jadi anak buah tinggal seorang dekat bandar.
“Sesuatu yang mencurigakan sebab mereka berdua selalu berkepit walau ada anak tiri aku sekali yang masih sekolah rendah. Baru-baru ini balik kampung sekali. Apabila buat panggilan video, selalu adalah anak buah itu. Keluar pergi mana-mana, mesti ikut.
“Bakal suami kata dia terhutang budi dengan abang dia. Sebab dia dahulu datang ke bandar sehelai sepinggang. Keluarga mereka yang tumpangkan tidur di rumah. Anak buah dia itu pula tak pernah berpisah dengan keluaga. Itu yang bakal suami nak jaga,” katanya.
Perkongsian itu dibuat oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran di platform media sosial Threads dengan tujuan meminta nasihat daripada orang ramai tanpa mendedahkan identiti pihak yang terlibat.
Menurut wanita itu, pendiriannya mengenai permintaan tersebut sudah diberitahu kepada bakal suaminya malah tidak cukup sekali namun lelaki terbabit sepertinya sukar untuk menerima jawapannya.
“Bakal suami masih tanya-tanya aku. Mengapa tak boleh tinggal sekali dengan anak buah dia? Aku tak tahu nak jelaskan macam mana. Kalau boleh tak nak ada masalah dengan dia. Sebab selain isu ini, bakal suami sangat baik dengan aku. Tak pernah marah.
“Anak bakal suami juga sudah rapat dengan aku. Mak aku juga sudah suka dengan dia. Tolong cakap dengan aku, macam mana lagi cara nak beritahu supaya dia faham. Ke kena bagi dia tengok cerita ‘ipar adalah maut?.” Soal wanita terbabit.
Dalam perkongsian terbaharu, wanita itu memaklumkan bahawa mereka sudah melakukan perbincangan susulan menerima pendapat orang ramai di mana lelaki terbabit bersetuju menyewa rumah berdekatan buat anak saudaranya.
Baca juga: “Bilik hanya untuk orang Malaysia” – Lelaki Kadazan terpinga ejen terang sebab tak boleh sewa