Wanita dakwa ibu dipulau rakan sebilik ketika tunai haji, ditengking sebab tak pandai

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati anak manakah yang tidak bimbang apabila melihat perubahan sikap ibu tersayang selepas pulang ke tanah air dipercayai akibat dipulau ketika mengerjakan ibadah haji.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, wanita itu mendakwa ibunya telah menerima layanan kurang baik daripada rakan sebiliknya ketika berada di Tanah Suci.

Warga emas terbabit dikatakan dipulau oleh rakan sebilik malah turut dilemparkan dengan kata-kata menyakitkan hati termasuklah bodoh, bengap dan sebagainya kerana kurang pandai.

Layanan yang diterima dikatakan memberi kesan cukup mendalam kepada kesihatah mental warga emas terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kemurungan walaupun sudah kembali ke tanah air.

“Ada tak ibu bapa kamu semua yang pergi haji dan kena buli? Kasihan mak saya. Selepas balik dari sana, murung sebab teringat-ingat rakan sebilik yang buli dia. Mak kita ini memang buta IT.

“Nak keluar ke mana-mana, tak pandai. Dekat kampung juga jenis duduk rumah sahaja. Selepas itu mak ceritalah ada mak cik-mak cik yang duduk sebilik cakap dia bodoh dan bengap.

“Selepas itu kena maki dan tengking lagi. Ingatkan yang pandai ini bolehlah bantu-bantu orang kurang pandai. Ini makin dipulau ‘kaw-kaw’,” kesal wanita berkenaan dalam perkongsian itu.

Walaupun merasa sedih atas kejadian itu, namun wanita terbabit tetap menyifatkan pengalaman dialami ibunya yang berusia lebih 70 tahun berkenaan sebagai ujian di Tanah Suci.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads turut merasa simpati dengan nasib dialami oleh warga emas terbabit sehingga dipulau di Tanah Suci tanpa kehadiran keluarga di sisi.

Ramai juga pengguna mempunyai pandangan berbeza berhubung situasi tersebut yang mana segelitir individu berpendapat bahawa jemaah haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan secukupnya supaya tidak perlu bergantung kepada orang lain ketika berada di sana.

Sebahagian besar pengguna bagaimanapun bersetuju bahawa situasi sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana jemaah haji sentiasa dinasihati untuk berkelakuan baik di Tanah Suci malah diberikan banyak pahala jika membantu orang lain terutamanya mereka yang kurang ilmu pengetahuan mengenai ibadah.

Baca juga: Kecewa anak 19 tahun senyap-senyap habiskan duit ASB RM10k yang disimpan ibu untuk hari kecemasan