Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun terhadap seorang wanita hari ini selepas individu warga Myanmar terbabit mengaku membunuh rakannya dengan menjerut leher mangsa menggunakan tuala.
Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid terhadap Phyo Tha Zin, 31, selepas mengambil kira pengakuan yang dilakukan tertuduh dan mensabitkan kesalahan mengikut pertuduhan pilihan.
Akibat perbuatan yang dilakukan pada enam tahun lalu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Tha Zin didakwa membunuh rakan wanita, Sakawar Lin yang ketika kejadian berusia 23 tahun di rumah pekerja terletak di Taman Budaya, Batu Pahat antara pukul 9 pagi sehingga 12.15 tengah hari.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan mengenai penemuan jasad seorang wanita yang disyaki mati akibat dibunuh di dalam sebuah rumah didiami pekerja kilang warga asing pada pagi hari kejadian, lapor Berita Harian.
Siasatan kemudian mendapati tertuduh yang merupakan pekerja kilang membuat pakaian itu bertengkar dengan rakan senegaranya selepas mendapat tahu mangsa telah berkenalan dengan lelaki warga Bangladesh.
Pertengkaran kedua-dua wanita warga Myanmar terbabit berlanjutan sehinggakan tertuduh bertindak mengambil tuala lalu menjerut leher mangsa sampai rakannya itu tidak lagi sedarkan diri.
Selepas kejadian, tertuduh meninggalkan mangsa dalam bilik dan pergi ke sebuah pusat beli belah tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum menghubungi rakan serumahnya bagi memeriksa keadaan mangsa yang ketika itu terbaring tidak sedarkan diri di katil.
Difahamkan, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Nor manakala tertuduh pula diwakili peguam, Ramesh Vasan.
Mahkamah pada masa yang sama turut memerintahkan tertuduh untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai hukuman penjara bagi tindakan susulan.
Baca juga: Haram cas telefon di masjid, kata Ustaz Azhar Idrus