Wanita hamil menangis hingga buta sebab suami hilang, kantoi kahwin lain bila balik nikahkan anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, sepasang mata dimiliki oleh seorang wanita disahkan tidak berfungsi akibat sering menangis selepas suami tersayang hilang tanpa khabar berita ketika sedang mengandungkan anak bongsu mereka.

Kejadian difahamkan berlaku ketika wanita itu berusia 33 tahun apabila suaminya yang sangat penyayang dan baik hati tiba-tiba berubah sebaik disahkan mengandung anak ketiga sebelum lelaki berkenaan menghilangkan diri.

Wanita itu dikatakan menangis selama setahun lebih dari anak berada dalam kandungannya hingga selepas enam bulan selamat bersalin berikutan terlalu sedih setiap kali mengenangkan suami dan masa depan keluarganya.

Bukan cerita rekaan, perkara itu didedahkan oleh seorang pembantu pembedahan pergigian yang didatangi pesakit buta berkenaan menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Thread miliknya, baru-baru ini.

“Hari itu dapat pesakit buta nak periksa gigi. Aku tanyalah memang buta sejak lahir ke? Dia cakap buta ketika umur 33 tahun sebab kuat menangis. Aku macam betul ke mak cik ini. Menangis sampai buta, ingat Kasim Selamat ke?

“Rupanya memang betul, buta selepas menangis tanpa henti yang menyebabkan saraf mata bengkak sampai dia perlahan-lahan tidak boleh melihat. Selepas dengar kisah hidup mak cik ini, aku pula yang menangis.

“Awalnya mak cik ini bahagia. Dikurniakan dua anak yang comel dan suami baik serta penyayang. Namun hidupnya berubah selepas mengandungkan anak yang ketiga dan suami dia tiba-tiba hilang tanpa kabar berita,” katanya.

Wanita itu akhirnya mula reda dan bangkit meneruskan hidup walau pihak hospital mengesahkan kedua belah matanya tidak dapat diselamatkan demi menunaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak.

Meskipun bergelar orang kurang upaya (OKU), wanita itu berjaya membesarkan semua anak sehinggalah masing-masing berhasil mendapatkan pekerjaan tetap dan bagus sebelum suaminya yang hilang tiba-tiba muncul.

“Anak-anaknya semua berjaya. Seorang kerja bank rakyat, ada kerja cikgu dan yang bongsu baru sahaja berkahwin. Aku tanya siapa yang nikahkan. Mak cik itu cakap, ayahnya yang hilang bertahun-tahun itu walikan.

“Rupanya suami yang dia sayang dengan sepenuh hati itu pergi dari hidupnya dan memilih wanita baru berusia 18 tahun lebih muda serta cantik darinya. Jadinya mak cik ini ditinggalkan dan digantung tak bertali.

“Suami muncul hanya untuk walikan anak dan pergi lagi dengan keluarga baru. Ada enam orang anak dengan bini baru itu. Allahu, kejamnya manusia. Mak cik itu besarkan anak seorang diri tanpa nafkah. Macam mana dia nak menjawab depan Allah nanti.” Kongsinya.

Menurut pembantu pembedahan pergigian itu, pesakit berkenaan kemudian diberikan rawatan mencabut gigi tanpa perlu membuat sebarang pembayaran dengan alasan memiliki kad OKU.

Baca juga: Ibu peluk Islam di usia 101 tahun, doa selama hampir 30 tahun akhirnya termakbul