Seorang wanita yang sedang hamil merasa begitu teruja untuk menikmati buah strawberi dari Cameron Highland dibelinya ketika berkunjung ke pusat peranginan popular di negeri Pahang itu.
Namun alangkah kecewanya ibu mengandung itu apabila mendapati paket berisi buah strawberi yang disimpannya di dalam peti sejuk untuk dimakan bersama suami dan anak-anak di rumah sudah tiada.
Menurut wanita itu, buah tersebut kemungkinan dimakan oleh keluarga kakak iparnya iaitu adik-beradik suaminya yang datang menumpang di kediaman tersebut selama tiga hari.
Wanita itu menjelaskan bahawa sebelum insiden berlaku, satu paket plastik berisi buah strawberi telah dihidangkan kepada keluarga kakak iparnya manakala bakinya pula disimpan di dalam peti ais.
“Sedih gila hari ini, rasa nak menangis. Saya mengandung dan baru sahaja turun dari Cameron Highland. Selepas itu, ada tetamu cakap nak datang tumpang duduk di rumah selama tiga hari.
“Hal itu tiada masalah. Tetamu datang tidur dan saya beri sebekas besar buah strawberi kepada anak-anak kakak ipar yang ramai itu untuk makan sekali dengan ibu bapa mereka. Lagi satu bekas saya simpan.
“Konon nak kunyah, makan dengan anak dan suami saya. Tetapi tadi buka sahaja peti ais, buah strawberi itu sudah tiada ya. Tanya suami, dia cakap tak tahu. Anak saya tak pandai buka peti lagi,” kesalnya.
Wanita itu tidak keberatan jika tetamu mahu menikmati makanan di dalam kediaman tersebut namun berharap agar mereka menghormati tuan rumah dengan meminta izin terlebih dahulu.
Teguran secara terus bagaimanapun tidak mampu dibuat oleh wanita terbabit kerana bimbang kakak iparnya tidak dapat menerimanya atau malah bertindak bermasam muka di kemudian hari.
“Sah, anak dia yang ramai itu makan. Apabila saya tanya kepada mak mereka, dia hanya menjawab ‘sudah habislah kot’. Kita pula tak sempat makan langsung. Sekurang-kurangnya, tinggallah sedikit.
“Saya teringin nak makan strawberi sebab baru nak baik dari alahan yang teruk. Memang menangis teruk apabila tahu buah sudah tiada. Suami nak beli lain tetapi rasa tak sama. Kecewa sangat tetapi benda sudah jadi.
“Selepas ini, saya akan berhati-hati. Dia pula kakak kepada suami saya. Tak berani nak tegur, nanti bermasam muka. Dia memang tumpang tidur di rumah kami kalau datang sini. Tak mengapa, saya sudah reda. Harap tak berulang.” Kongsinya.
Perkongsian tersebut dimuat naik di platform Thread di mana rata-rata pengguna tampil meluahkan rasa simpati terhadap ibu mengandung terbabit selain memberikan cadangan agar teguran dibuat oleh suami wanita itu agar kakak iparnya tidak terasa hati.