Wanita Harapan jamin fokus kepada kebajikan untuk wanita, kanak-kanak dan warga emas

Oleh BORHAN AHMAD

Wanita Pakatan Harapan memberi jaminan akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memberikan kebajikan kepada wanita, kanak-kanak, warga emas, OKU dan juga ekonomi khasnya wanita.

Ketua Wanita Harapan, Rajmuni Sabu @ Aiman Athirah berkata, perhimpunan wanita Harapan semalam memacakkan iltizam dan fokus itu kepada 1500 perwakilan wanita Harapan dari seluruh negara semalam.

Wanita Harapan bersedia untuk hadapi PRU-15.

“Kita akan memastikan dasar keterangkuman (inklusif) dan keluarga selamat ini menjadi dasar kerajaan jika Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-15 ini,” kata beliau dalam sidang media semalam.

Semalam, Wanita Pakatan Harapan melancarkan program Iltizam Wanita bagi menggantikan Konvensyen Wanita Pakatan Harapan ekoran pembubaran Parlimen 10 Oktober lepas.

Wanita Harapan akan memastikan Anwar akan menjadi PM kali ini, kata Ketua Wanita Harapan.

Program itu dilancarkan oleh Presiden Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan penegasan wanita akan menjadi lebih 30 peratus calon Harapan dalam PRU-15 ini.

Perhimpunan ini diharap menjadi semboyan yang sampai ke seluruh negara yang menunjukkan Wanita Harapan bersedia untuk berhadapan dengan PRU-15, kata Aiman Athirah.