Alangkah kecewanya seorang wanita apabila mendapati ayam percik yang dibelinya ketika mengunjungi sebuah bazar Ramadan tidak boleh dimakan selepas dibawa pulang ke rumah.
Mana tidaknya, walaupun kelihatan sangat menyelerakan sekiranya dilihat dari luar namun di bahagian dalam ayam percik tersebut sebenarnya agak mengecewakan kerana belum masak sepenuhnya.
Berdasarkan rakaman dimuat naik oleh wanita berkenaan di platform TikTok, dapat dilihat bahawa banyak bahagian dalam ayam tersebut berwarna kemerah-merahan yang menandakan hidangan berkenaan masih mentah.
Wanita itu kemudian meluahkan rasa kesal dengan sikap peniaga yang seakan lebih mementingkan keuntungan berbanding menjaga kualiti ayam percik sebelum dijual kepada pelanggan.
“Orang jual, kau pun nak jual. Tolonglah, jangan fikir nak kaya sahaja. Aduhai,” katanya dalam perkongsian dimuat naik di akaun TikTok miliknya yang kini sudah meraih tontonan daripada 315,000 pengguna.
Pelanggan terbabit bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi sebenar bazar Ramadan sama ada negeri mahupun daerah yang menjual ayam percik dalam keadaan masih mentah itu.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna kesal dengan sikap peniaga yang mencari rezeki namun tidak menitikberatkan tentang keikhlasan dalam berjual beli.
Beberapa individu juga berkongsikan pandangan bahawa kebanyakkan peniaga di bazar Ramadan bukanlah datang dari bidang perkhidmatan makanan malah ada juga yang tiada bakat memasak.
“Kalau masin atau tawar tak jadi masalah sebabnya semua orang berpuasa. Faham. Tetapi mentah ini boleh nampak dengan mata. Orang beli untuk memudahkan bukan nak masak balik bila sampai rumah. Duit terbang tetapi hasil tak memuaskan. Cubalah kalau meniaga itu ikhlas dari hati,” kata seorang pengguna.
“Fakta. Ramai peniaga di bazar Ramadan ini bukan orang di dalam bidang perkhidmatan makanan. Ramai menjadi bidan terjun sebabkan duit. Tiada bakat pun redah sahaja. Ada yang tengok resepi dekat Youtube, cuba-cuba selepas itu terus buat meniaga. Pekerja juga main tangkap muat sahaja.” Kesal pengguna lain.
Baca juga: Jaguh pecut Malaysia Azeem Fahmi jadi bualan di AS, kenapa?