Peminat hidangan Mi Goreng Basah pasti merasa ‘potong selera’ apabila melihat makanan kegemaran mereka itu sudah kembang dan tidak lagi berkuah.
Menyedari keresahan orang ramai, seorang wanita yang dikenali sebagai Riana Samad tampil berkongsikan petua berkesan bagi memastikan hidangan mi goreng ini kekal enak dan berkuah sepanjang masa.
“Dahulu buat asyik tak menjadi. Basah kejap sahaja, tetapi selepas satu jam kuahnya macam kena serap. Akhirnya daripada Mi Basah, bertukar menjadi menu Mi Goreng yang kembang tanpa kuah.
“Alhamdulillah, sekarang sudah handal. Kalau masak malam pun, bangun pagi esok masih lagi likat dan berkuah mi dia. Ini resipinya kalau nak cuba,” kata Riana Samad menerusi satu hantaran di platform Facebook.
Bahan-bahan masak Mi Goreng Basah:
- Satu bungkus mi kuning (rendam dan toskan air)
- Tiga biji bawang putih dan empat biji bawang merah (kisar)
- Setengah sudu cili giling
- Secubit asam jawa
- Sotong, bebola ikan dan daging (hiris)
- Sebiji bawang besar (hiris)
- Sebiji tomato (potong empat)
- Lima sudu sos cili
- Lima sudu sos tomato
- Lima sudu sos tiram
- Kicap manis
- Sayur
Cara-cara buat Mi Goreng Basah:
1. Tumis bawang kisar sehingga kekuningan. Kemudian, masukkan cili giling dan asam jawa. Sambung tumis sampai bahan tidak lagi mentah dan naik bau wangi.
2. Masukkan semua sos dan tumis sampai pecah minyak. Seterusnya, masukkan sesuku cawan air. Ingat, sesuku cawan air sahaja ya. Jangan tambah lagi.
3. Selepas masukkan air baru masukkan udang, daging dan bebola. Kemudian tumiskan lagi sehingga semua bahan cukup masak.
4. Masukkan pula buah tomato, sayur, bawang besar dan juga cili potong.
5. Air tidak boleh banyak kerana mi boleh kembang dan kuahnya menjadi kering. Petuanya terletak pada sos. Ini bahan yang memekatkan mi basah, bukan air. Jadi jangan kedekut sos.
6. Masukkan mi dan kacau rata. Sambil itu, boleh tambahkan kicap dan serbuk perasa mengikut selera anda.
7. Kemudian boleh campur sayur taugeh segenggam, kalau ada. Apabila semua bahan-bahan sudah sebati, api sudah boleh dipadamkan dan mi basah anda sudah siap!
8. Mi basah boleh dihidangkan dengan hirisan daun sup, bawang goreng dan perahan limau nipis. Nak lagi sedap boleh potong timun batang. Kalau ada lada jeruk lagi terangkat!
“Garam dan gula kalau nak letak kena rasa dulu betul-betul. Saya tak letak sebab mi itu sendiri sudah masin. Kicap, dan segala sos pun sudah cukup untuk perasakan mi.
“Lagi kalau anda gunakan cili boh kilang, memang dah sedia masin. Selamat mencuba semua.” Katanya menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik menerusi kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ni (MAHN).
Baca juga: Ayam goreng tak rangup? Guna kaedah celup 2 kali baru menjadi!