Pisang Goreng Salut Gula merupakan salah satu sajian tradisi yang cukup popular dan diminati oleh generasi ‘veteran’ di negara kita.
Mungkin agak tenggelam selari dengan peredaran masa, namun hidangan ini sebenarnya tidak kalah sedapnya dengan pisang goreng karamel yang digilai oleh masyarakat terkini.
Sangat mudah untuk disediakan, mereka yang sudah mulai bosan dengan menu di pasaran bolehlah mencuba resepi wanita dikenali sebagai Nur Aynee yang membuat perkongsian mengenainya di platfrom Facebook
Hanya memerlukan tiga bahan iaitu pisang, gula dan garam, mereka yang berminat dengan hidangan Pisang Goreng Salut Gula ini tidak perlu bersusah-payah untuk membancuh adunan tepung.
Hal ini kerana anda cuma perlu menggoreng pisang sehingga garing, namun jangan pula sampai ia hangus sebelum menaburkan sedikit gula untuk membangkit selera.
Bahan-bahan untuk Pisang Goreng Salut Gula:
- Pisang (jenis mengikut citarasa)
- Gula pasir
- Garam
Cara-cara:
1. Mula-mula, belahkan pisang pilihan anda kepada dua bahagian. Selepas itu, rendam seketika dalam larutan garam iaitu sedikit garam yang dilarutkan dengan air.
2. Kemudian, panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Langkah seterusnya adalah menggoreng pisang yang telah direndam sehingga garing dan bertukar warna.
3. Apabila pisang sudah bertukar warna, bolehlah diangkat dan toskan supaya lebihan minyak dapat dibuang. Selepas itu, susunlah pisang anda di dalam pinggan.
4. Ketika pisang yang digoreng tadi masih panas, taburkanlah gula ke atasnya bagi melengkap sajian sebelum dihidang bersama secawan teh panas. Selamat mencuba!
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca dalam kalangan peminat hidangan Pisang Goreng Salut Gula mahupun peniaga yang ingin mencuba menu tersebut untuk dijual.
Baca juga: Kenapa ada yang minum air pangsa lepas makan durian? Pakar perjelas sebabnya