Wanita kongsi rahsia simpan daun pandan tahan sampai berbulan, dijamin kekal segar!

Oleh WAN SITI AMINAH

Daun pandan adalah salah satu jenis tumbuhan tropikal yang mempunyai aroma wangi dan rasa seperti bunga ros, badam serta vanila.

Mudah didapati di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, daun pandan ini merupakan salah satu tumbuhan popular yang sering digunakan dalam masakan.

Oleh yang demikian, orang ramai pasti tertanya-tanya kaedah manakah yang paling sesuai untuk menyimpan daun ini agar dapat digunakan dalam jangka masa panjang.

Berikut kami kongsikan tips agar daun pandan bertahan dalam masa berbulan dan kekal segar untuk digunakan berdasarkan hantaran seorang wanita di akaun Facebook miliknya, DLa AMaya.

Tips atau kaedah ini juga sesuai diamalkan oleh peniaga makanan yang menggunakan duan pandan sebagai bahan penting dalam masakan mereka kerana dijangka dapat meringankan kos.

Cara penyimpanan daun pandan

1. Mula-mula bersihkan dahulu daun pandan

2. Kemudian potong pendek-pendek daun tersebut mengikut ukuran bersesuaian.

3. Setelah dipotong, bolehlah dimasukkan ke dalam mana-mana plastik kedap udara yang berada di rumah anda.

4. Kemudian, bekas tersebut boleh disimpan dalam peti sejuk di bahagian beku atau ‘freezer’. Hanya keluarkan apabila perlu dan terus masukkan ke dalam masakan anda.

“Bagus cara ini. Tampak segar, sihat dan elok sahaja. Berbulan pun boleh tahan. Kalau nak masak boleh ambil sahaja sebab sudah siap dipotong. Sangat mudah.

“Daripada kering sebab beli banyak-banyak, baik simpan beku. Senang nak masak nasi, kuih, hilangkan bau peti ais, atau buat rampai buat wangikan rumah pun boleh. Serai juga boleh disimpan dengan cara macam ini.

“Potong siap-siap atau letak sebatang terus. Daun jenis lain juga boleh. Kekal segar, cuma warna daun mungkin berubah. Boleh diletakkan dalam bekas aiskrim biru itu,” katanya dalam hantaran itu.

Perkongsian penyimpanan daun pandan ini dibuat oleh wanita terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di kumpulan Facebook popular iaitu Masak Apa Hari Ni (MAHN).

Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca terutamanya bagi mereka yang gemar menggunakan daun pandan dalam masakan.

Baca juga: 4 warga asing kantoi hidup mewah di Malaysia, rupanya duduk sini jual dadah!