Wanita kritik iklan cari kerja tawar RM2,000 untuk jawatan ‘Head of IT’

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita mengkritik satu iklan mencari kerja yang disiarkan sebuah syarikat swasta kerana menawarkan gaji tidak masuk akal untuk jawatan yang agak besar iaitu Teknologi Maklumat (IT).

Menurut iklan yang dikongsikan wanita itu, ia mencari Ketua Bahagian IT dan Pembangunan Sistem dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000.

Mempersoalkan logik bayaran rendah tersebut, wanita itu berkata harga pasaran untuk pekerja berkemahiran dalam IT ketika ini adalah sekitar RM6,000 hingga RM10,000.

“Logik ke (jawatan ini) dapat gaji lebih RM300 sahaja daripada gaji minimum. Saya tanya logik ke tak sebab ini iklan kerja kosong yang betul, legit.

“Saya malas nak cakap banyak tapi purata gaji untuk pekerja IT ini, kalau anda lepasan graduan dengan pengalaman sekurang-kurangnya satu tahun, gaji anda paling kurang pun RM2,500 hingga RM3,500.

“Kemudian bila anda dah ada pengalaman tiga hingga empat tahun, anda dah boleh demand RM3,500 sampailah RM5,000.

“Kalau dah masuk taraf pengurus atau ketua bahagian IT, paling kurang pun RM6,000 sampai RM10,000 ya. Saya tak akan persoalkan kriteria yang dia tetapkan tapi gaji yang anda tawar setimpal ke dengan kriteria yang anda minta?,” soalnya dalam satu video di TikTok.

Wanita itu menambah, jika majikan mahukan orang yang memiliki set kemahiran tinggi dalam bidang IT, mereka perlu menawarkan gaji yang membanggakan.

Dia juga menyelar tindakan segelintir majikan yang menawarkan gaji tidak masuk akal tanpa membuat penelitian purata gaji untuk bidang tersebut.

“Saya masih terkilan baca iklan kerja tersebut. Anda bayangkan ketua bahagian IT gaji RM2,000. Habis yang bawah-bawah tu berapa sen gaji dia orang?

“Kepada yang mencari kerja, know your value. Jangan terima tawaran yang merepek macam ni. Dan kepada majikan, buat kajian dulu berapa market gaji zaman sekarang ni,” ujarnya lagi.

Baca juga: “Sebelum kahwin lagi suami dah berani pinjam duit, menggigil aku bila tahu dia guna untuk beli…”