Wanita menangis makan nasi dagang dari bazar, suami cari peniaga nak bungkus gulai

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, hidangan nasi dagang yang dibeli daripada sebuah bazar Ramadan terletak di Bandar Baharu, Kedah telah mengundang sebak seorang wanita sehingga tidak berhenti menitiskan air mata ketika menikmatinya.

Rupa-rupanya, wanita yang berasal dari Kuantan itu sudah lama teringin menikmati nasi dagang dan peniaga bazar tersebut berjaya menyediakan hidangan berkenaan sesuai dengan seleranya.

Perkongsian itu dibuat oleh peniaga berkenaan di akaun TikTok miliknya susulan gerainya didatangi selepas waktu berbuka oleh suami kepada wanita terbabit bertanyakan mengenai nasi dagang jualannya.

“Pertama kami berniaga di bazar, sudah buat pelanggan menangis. Ada pelanggan ini, datanglah beli nasi dagang. Dia beritahu sudah lama tak makan. Jadi aku tanyalah dia orang mana. Dia jawab orang Kuantan.

“Terjumpa pula orang kampung. Kemudian selepas waktu berbuka, kami tengah kemas-kemas nak bersihkan gerai. Kemudian ada abang ini datang. Dia tanya, ‘Akak yang jual nasi dagang ke?’.

“Aku pun jawab ya. Kemudian dia cakap ‘Maaf kak’ dalam nada perlahan. Aku dan suami sudah cuak dan dalam hati sudah terfikir, ‘Matilah, gulai basi ke?’. Tetapi setahu aku, gulai itu boleh tahan dalam dua ke tiga hari,” kongsinya.

Peniaga yang mulanya merasa sangat khuatir sekiranya nasi dagang jualannya sudah basi kemudian berkongsi rasa sebak apabila mengetahui punca sebenar suami kepada wanita terbabit datang ke gerainya.

Punca sebenar lelaki terbabit datang ke gerainya adalah untuk membungkus gulai ikan berikutan lauk berkenaan memberi rasa yang serupa dengan hidangan disediakan oleh arwah ibu mentuanya.

“Abang itu tanya, ‘Gulai ikan akak ada lagi tak?’. Aku cakap ada lagi. Dia minta sama ada boleh bungkuskan tak sebab masa waktu berbuka, isterinya menikmati nasi dagang itu sambil menangis-nangis.

“Katanya nasi dagang dan gulai ikan itu serupa macam arwah mak dia masak. Aduh, aku sudah sebak. Apa-apa pun, sedekahkan Al-Fatihah buat arwah ibunya.” Kongsi peniaga berkenaan di platform TikTok.

Baca juga: Terkilan ditipu, rugi lebih RM600k, Noraniza Idris lapor polis