Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan seorang wanita menjerit ketakutan apabila disajikan dengan pemandangan ‘menyeramkan’ ketika sedang menikmati buah durian.
Mana tidaknya, seekor ulat berwarna coklat kemerahan bersaiz sederhana yang masih hidup tiba-tiba keluar daripada salah satu ulas buah durian dinikmati oleh wanita berkenaan.
Berdasarkan rakaman berdurasi lima saat itu, terlihat ulat tersebut bergerak-gerak dipercayai cuba untuk melarikan diri sebelum ditindih dengan tangkai durian oleh individu lain yang berada di situ.
Mengakui merasa amat takut, wanita terbabit kemudian menjerit dengan sangat kuat ketika melihat ulat tersebut ditindih sebelum menamatkan rakaman yang dikongsi di platform TikTok itu.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.3 juta tontonan dari pengguna TikTok dengan rata-ratanya turut mengakui pernah mengalami kejadian sama ketika menikmati durian.
“Sebabkan ular ini pernah terpelanting keluar kena dekat muka, sampai ke sudah saya trauma dengan durian,” kata seorang pengguna menceritakan pengalaman peribadi ketika menikmati raja buah tersebut.
“Dahulu aku pernah kunyah juga weh, tak perasan masa itu. Tahu-tahu tergigit kepala dia. Selepas itu, rasa rangup sedikit. Barulah perasan (terkunyah ulat).” Kongsi pengguna lain.
Difahamkan, ulat yang ditemukan oleh wanita berkenaan adalah perosak utama tanaman durian berikutan ia boleh menyerang di pelbagai tahap iaitu pada peringkat bunga, buah muda ataupun matang.
Jika ulat Mudaria pengorek buah atau nama saintifiknya, Mudaria magniplaga ini mula menyerang ketika peringkat bunga dan buah muda, maka tanaman durian akan rosak dan gugur.
Manakala jika serangan berlaku pada pokok yang matang, pangsa pula akan rosak disebabkan kotoran (fras) ulat dan kerosakan biji serta boleh menyebabkan keseluruhan buah tidak dapat dimakan.
Ulat ini datang daripada serangga dewasa yang bertelur pada buah muda hingga matang dan larva telurnya akan memakan isi serta mengorek buah hingga ke biji sebelum korek keluar untuk menjadi pupa.
Antara salah satu serangga ini adalah Yellow Peach Moth iaitu sejenis kupu-kupu yang menyerang pelbagai buah temasuklah durian, rambutan, belimbing dan jambu batu.
Baca juga: Hatyai penuh orang kita, dah macam pasar malam dekat Malaysia sahaja