Wanita mualaf sukar dapat bantuan zakat, berhasrat mahu kembali ke agama asal

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mualaf tidak menyangka pengorbanan yang dilakukan dengan meninggalkan agamanya untuk menikahi lelaki Melayu Islam rupanya langsung tidak dihargai.

Lebih memburukkan keadaan, suaminya juga tergamak meninggalkannya tergantung tidak bertali demi wanita lain di saat dirinya kini sedang mengandungkan anak mereka.

Perkara itu tidak hanya menyebabkan wanita terbabit trauma malah berniat mahu kembali ke agama asalnya selepas didakwa menerima layanan dingin daripada pihak masjid ketika mahu meminta bantuan.

Wanita mualaf itu juga mengakui berdepan dengan detik sukar untuk mendapatkan bantuan daripada pihak zakat memandangkan kehadiran suaminya adalah wajib bagi permohonan diluluskan.

Luahan hati wanita berkenaan dikongsikan menerusi satu hantaran berbentuk video berdurasi satu minit lapan saat yang dimuat naik di platform TikTok melalui akaun milik Ariff Peter.

“Saya meninggalkan keluarga dan memeluk agama Islam. Sebelum kami berkahwin, suami saya sudah berjanji akan memberikan kehidupan yang lebih baik. Tetapi kena tukar agama dahulu.

“Tetapi selepas saya peluk agama Islam, berkahwin dan sekarang sedang mengandung, dia ada perempuan lain. Suami sudah meninggalkan saya. Maaf, saya bukan nak menyinggung perasaan.

“Namun saya memang trauma dengan lelaki Melayu di Malaysia. Saya tiada duit, sekarang pula sedang hamil. Susah nak keluar cari kerja. Jadi pergilah masjid minta tolong tetapi mereka ingat saya tipu,” kongsinya.

Dalam perkongsian yang sama, wanita terbabit mengakui telah dihalau oleh pihak masjid ketika memohon bantuan namun menerima layanan cukup berbeza sebaik sahaja mendatangi gereja dengan tujuan serupa.

Jelas wanita mualaf itu, pihak gereja yang menghulurkan bantuan kepadanya dengan memberikan wang cukup untuk menampung kos sara hidup hingga membuatkan dirinya terfikir untuk kembali ke agama asalnya.

“Pihak masjid ingat saya ‘scammer’, mereka halau dan tak mahu pedulikan saya. Jadi saya cuba minta tolong pihak zakat. Tetapi mereka pula cakap, perlu ada suami kerana kehadirannya wajib.

“Suami sudah tinggalkan saya. Dia pergi mana juga saya tak tahu. Saya sudah pening, tak tahu nak buat macam mana. Pilihan terakhir saya pergi gereja, minta tolong. Mereka sanggup membantu saya.

“Mereka berikan bantuan untuk tampung kos sara hidup. Pihak gereja ini cuba bantu saya. Lebih baik daripada pihak masjid dan zakat. Saya rasalah, lebih baik balik ke agama asal. Kehidupan saya lebih baik.” Kesal wanita itu.

Baca juga: Lori tangki Petronas jadi bualan, kenapa jarang dengar kes lori ini kemalangan?