Cadangan pembentukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang menggabungkan pihak negeri dan persekutuan wajar diterima semua pihak demi kemajuan dan keharmonian rakyat.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Norashidah Jaafar berkata zaman Umno BN telah berlalu dan rakyat mahu melihat Malaysia baru memulakan langkah berbeza.
“Walaupun kita sendiri merasa berat dengan cadangan ini kita perlu menerimanya kalau mahu anak cucu kita mewarisi pentadbiran yang lebih membina masa depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahad lalu media melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa berkata, seramai 12,672 individu akan dilantik menganggotai MPKK Kelantan yang diwujudkan dikesemua 792 kampung di seluruh negeri ini.
Pemilihan bagi jawatan tersebut katanya, dibuat kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Pas Kelantan.
Komen dari banyak pihak tidak senang dengan pengumuman itu dengan hujah masing.
Ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, Asran Alias mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menarik balik kuasa melantik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang diberikan kepada kerajaan Pas Kelantan.
Pemilihan pengerusi MPKK katanya mestilah dibuat secara terbuka dengan melibatkan Komuniti Kampung bukannya diputuskan dalam mesyuarat Pas cawangan ataupun kawasan sahaja.
“Sehingga ini kerajaan Pas Kelantan sendiri belum lagi melantik pengerusi, setiausaha dan ahli-ahli bagi MPKK,” katanya.
Difahamkan bagi setiap unit MPKK seramai 11 anggota dilantik kerajaan negeri dan 5 anggota lagi lantikan pihak persekutuan.
Setiap MPKK akan dipengerusikan penghulu lantikan kerajaan negeri.
Menurut Norashidah memang akan ada rssa tidak selesa dan tidak puas hati kedua-dua pihak.
“Kalau benar kita mahu bekerja untuk kebaikan semua pihak perlu berlapang dada,” katanya.