Wanita sempat rakam durian ‘paling tinggi’ atas kepala, sekali buah jatuh tak sempat nak elak

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang wanita yang sedang asyik menikmati seulas durian di bawah pokok raja buah berkenaan telah berjaya mencuri tumpuan ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, rakaman yang berdurasi 44 saat itu bukan sahaja menunjukkan keterujaan wanita berkenaan ketika berada di dusun durian malah turut merakamkan insiden mengejutkan.

Rakaman yang dimuat naik di laman TikTok itu dimulakan dengan paparan wanita berkenaan sedang menikmati seulas durian sambil berteduh di bawah pokok untuk menunggu buah lain jatuh.

Wanita itu juga sempat mengalihkan fokus kamera betul-betul di atas kepalanya berikutan terdapat beberapa biji buah durian masih tergantung di dahan pokok namun terlihat seperti sudah masak.

Namun wanita terbabit tidak pernah menyangka bahawa buah durian itu malah terjatuh tepat di atas kepalanya malah kejadian berkenaan turut terakam dalam lensa kamera telefon bimbit miliknya.

Tidak bernasib baik, wanita itu juga tak sempat mengelak daripada terkena buah gugur tersebut walaupun individu yang berada di sekitarnya sudah menjerit sebagai tanda amaran.

“Detik-detik buah durian jatuh di atas kepalaku. Jadinya, durian yang jatuh itu adalah buah paling tinggi. Nampak macam sudah masak. Jadi saya ambil keputusan untuk tunggu dan duduk di bawah pokok.

“Padahal di dalam hati sudah terdetik. Macam mana kalau buah durian tersebut jatuh dan kena kepala aku. Eh, tiba-tiba (jatuh juga). Sakitnya sampai saya macam sudah mati rasa.

“Memang rasa sakit tetapi saya betul-betul terkejut ekoran tak menyangka sama sekali (buah akan jatuh atas kepala). Semoga kejadian ini tidak terjadi lagi,” kata wanita itu dalam satu perkongsian di akaun TikTok miliknya.

Berdasarkan bahasa digunakan dalam penulisan pemilik akaun TikTok, kejadian dipercayai berlaku di Indonesia namun turut mengundang perbincangan di kalangan pengguna media sosial Malaysia.

Perkongsian tersebut tular di media sosial dengan berjaya meriah tontonan daripada 9.4 juta pengguna TikTok yang mana rata-rata bersimpati dengan nasib wanita itu selain memintanya membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

Sebalik merasa kasihan, ramai juga pengguna mengakui terhibur selepas menonton video tersebut tidak kurang sebahagian besar daripadanya tidak lupa untuk memberi nasihat agar tidak duduk di bawak pokok durian.

“Jangan lupa pergi buat pemeriksaan imbasan X-ray di hospital. Takut ada darah beku. Orang di kampung saya ada juga seorang mangsa kena macam ini. Meninggal dua tahun selepas kejadian,” kata seorang pengguna.

“Alahai Kakak, sakit itu. Sebab itulah orang tua-tua cakap. Kalau musim durian luruh, jangan duduk di bawah pokok lama-lama. Bahaya.” Kongsi pengguna lain yang bersimpati dengan nasib wanita itu.

Baca juga: 17 tahun duduk PPR, netizen terkejut lihat rumah wanita ni, bilik air macam dekat hotel